Beli iPhone 6s atas talian, wanita China sebaliknya terima 'iPhone buah pir'
Kohilah Sekaran
Mac 20, 2016 20:52 MYT
Mac 20, 2016 20:52 MYT
INI adalah satu lagi kisah yang boleh dijadikan peringatan untuk semua pengguna agar tidak mempercayai perniagaan atas talian secara membuta tuli.
Baru-baru ini, seorang wanita China yang membayar beribu-ribu Renminbi untuk membeli sebuah telefon pintar keluaran Apple, iPhone 6s, dilapor ditipu oleh seorang penjual atas talian.
Memetik laporan portal Shanghaiist, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zhao dari Wuxi, China terkejut apabila mendapati telefon yang diidamkannya itu mempunyai logo ‘buah pir’ di belakang telefonnya, dan bukannya model iPhone 6s.
Menurut Zhao, pada mulanya dia terlihat satu tawaran yang hebat untuk telefon iPhone dan selepas menghubungi penjual tersebut, mereka bersetuju ia dijual pada harga RMB3,400 (RM2,128).
Bagaimanapun, penjual berkenaan kemudian menghubungi Zhao dan meminta dia membayar duit tambahan sebanyak RMB 5,000 (RM3130) atas isu kastam.
Menurut penjual tersebut kepada Zhao, telefon berkenaan telah dirampas oleh pihak kastam dan dia perlu membayar wang sebanyak itu untuk memudahkan urusan penghantaran.
Tambahnya, duit berkenaan akan dikembalikan kepada Zhao sebaik sahaja dia menerima telefon itu.
Percaya dengan kata-kata penjual itu, wanita berkenaan menghantar duit kepadanya.
Tetapi malangnya, Zhao dilapor tidak menerima iPhone 6s jenama Apple seperti yang ditempah, disebaliknya Zhoa menerima sebuah telefon pintar dengan logo 'buah pir’.
Menurut mangsa, dia kemudian cuba untuk menghubungi penjual berkenaan, tetapi dia mendapati penjual tersebut telah disenarai hitam.