Belasungkawa: Lee Kuan Yew
Astro Awani
Mac 22, 2015 07:22 MYT
Mac 22, 2015 07:22 MYT
Bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew, 91 meninggal dunia pada 3.18 pagi (waktu Singapura) di Hospital Besar Singapura selepas menghidap radang paru-paru kronik.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Lee Hsien Loong yang juga anak kepada mendiang sangat sedih dengan pemergian tersebut.
Singapura turut mengisytiharkan Perkabungan Negara mulai 23 Mac hingga 29 Mac depan.
Upacara penghormatan terakhir tertutup untuk ahli keluarga akan diadakan pada Isnin dan Selasa di kediaman keluarga di Sri Temasek.
Mayat mendiang akan diberikan penghormatan negara di bangunan Parlimen pada Rabu hingga Sabtu untuk orang awam memberikan penghormatan terakhir.
Upacara pengkebumian negara pula akan diadakan pada Ahad pukul 2 petang di University Cultural Centre, National University di Singapura.
Mendiang dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital tersebut pada 5 Februari lalu akibat radang paru-paru.
BIOGRAFI LEE KUAN YEW
Lee adalah Perdana Menteri Singapura dari tahun 1959 hingga 1990, menjadikannya
Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat dalam sejarah dunia.
Ketika memegang jawatan tersebut , beliau berjaya menaikkan taraf Singapura sebagai sebuah negara yang paling pesat membangun di rantau Asia Tenggara.
Lee dilahirkan pada 16 September 1923 di Singapura.
Beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan perundangan di Kolej Fitzwilliam, Cambridge selepas Perang Dunia ke-2.
Pada 1950, beliau pulang ke Singapura dan mula aktif dalam bidang politik.
Lee mengasaskan People’s Action Party atau PAP dan memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung sejak 1954.
Setelah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau kekal sebagai pemimpin PAP sehingga 1992.
Seterusnya sebagai Mentor Menteri Singapura sehingga 2011.
Lee berkahwin dengan Kwa Geok Choo pada tahun 1950 dan mempunyai 3 orang anak; Lee Hsien Loong, Lee Wei Ling dan Lee Hsien Yang.
Anak sulungnya, Lee Hsien Loong adalah Perdana Menteri Singapura sejak dari 2004.
LEE KUAN YEW SINGAPURA
Pada 16 September 1963, Singapura menyertai pembentukan Malaysia.
Bagaimanapun perbalahan kaum tercetus di antara masyarakat Melayu dan Cina melihat Singapura keluar dari Malaysia.
Lee Kuan Yew selaku Perdana Menteri menandatangani perjanjian itu dan Singapura diisytiharkan sebagai sebuah Negara merdeka pada 9 Ogos 1965.
Sekaligus memaksa beliau mengambil beberapa langkah untuk membangunkan Singapura sebagai sebuah negara maju.
Lee menerajui program transfomasi ekonomi dengan menjadikan Singapura sebagai pengeksport barang dagangan, menggalakkan pelaburan asing dan memperbaiki taraf hidup golongan pekerja.
Menjelang 1980an, Singapura menduduki tangga kedua di belakang Jepun dalam senarai negara yang mempunyai pendapatan per kapita tertinggi di Asia Timur.
Sekaligus diiktiraf sebagai pusat ekonomi bagi seluruh rantau Asia Tenggara.