Belanda usir beberapa diplomat Rusia, tutup pejabat perdagangan - Kementerian Luar

Bernama
Februari 19, 2023 12:55 MYT
Belanda turut bertindak menutup konsulat jeneral di Saint Petersburg dan Pejabat Perdagangan Rusia di Amsterdam. - Gambar hiasan
AMSTERDAM: Belanda pada Sabtu memutuskan untuk mengusir beberapa diplomat Rusia dan mengehadkan jumlah pegawai kanan berikutan pertikaian berterusan antara kedua-dua negara, lapor Agensi Anadolu.
Menteri Luar Belanda Wopke Hoekstra mendakwa Rusia cuba menempatkan pegawai perisikannya ke negara itu.
"Percubaan berterusan Rusia untuk menugaskan pegawai perisikan ke Belanda di bawah perlindungan diplomatik tidak boleh diterima.
"Oleh itu, kami mengehadkan bilangan diplomat Rusia di Belanda," menurut dakwaan Hoekstra di Twitter.
Belanda turut menutup konsulat jeneral di Saint Petersburg dan Pejabat Perdagangan Rusia di Amsterdam, katanya.
Terdahulu, Kementerian Luar Rusia memanggil Duta Besar Belanda Gilles Arnout Beschoor Plug pada Jumaat dan memaklumkan mengenai halangan yang dihadapi Kedutaan Rusia di Belanda, termasuk berkaitan isu visa.
-- BERNAMA
#usir diplomat #Netherlands #Rusia #perisikan
;