Belanda larang pakai purdah di tempat awam

Agensi
Ogos 2, 2019 10:34 MYT
Kerajaan Belanda mengeluarkan arahan melarang pemakaian purdah di kawasan awam kepada wanita Muslim di negara itu. Gambar fail
Kerajaan Belanda mengeluarkan arahan melarang pemakaian purdah di bangunan dan pengangkutan awam selepas mendapati bilangan wanita Islam yang memakai persalinan itu semakin ramai.
Dianggarkan antara 200 dan 400 orang wanita Islam menyarungkan purdah di Belanda, yang dihuni sekitar 1.7 juta penduduk.
Terdahulu pada tahun 2015, Kabinet Belanda meluluskan larangan pemakaian purdah, atau juga digelar niqab, iaitu tudung yang menutupi muka, di tempat awam, merangkumi sekolah-sekolah, hospital dan dalam pengangkutan awam.
Bagaimanapun, larangan itu tidak terpakai untuk wanita yang memakai purdah di jalanan, sebaliknya hanya berkuat kuasa di tempat-tempat awam.
“Bermula dari sekarang, pemakaian purdah yang menutupi muka tidak dibenarkan di pusat-pusat pengajian, institusi dan bangunan awam termasuk hospital dan pengangkutan awam,” kata kementerian dalam negeri Belanda dalam satu kenyataan kepada AFP.
Menurut kenyataan itu, larangan itu penting terutamanya di tempat-tempat awam agar wajah seseorang individu itu boleh dikenalipasti.
Selain purdah, turut dikenakan larangan adalah topi keledar penuh dan penutup kepala dan jika ia tidak dipatuhi boleh menyebabkan seseorang itu dikenakan denda sebanyak 150 euros (RM690).
Dalam pada itu, sektor pengangkutan awam memberitahu, mereka tidak akan memberhentikan kenderaan hanya untuk menurunkan penumpang yang menyarungkan purdah kerana ia akan menyebabkan kelewatan.
Begitu juga pihak hospital kerana mereka tetap akan memberikan perkhidmatan dan rawatan kepada orang ramai tanpa mengira jenis pakaian yang dikenakan.
Julai lalu, Kerajaan Tunisia mengumumkan larangan memakai purdah di pejabat kerajaan dan tempat awam atas faktor keselamatan.
Perdana Menteri, Youssef Chahed dilaporkan telah menandatangani pekeliling kerajaan yang turut melarang pakaian yang menutup muka di mana-mana institusi awam.
#Belanda #Islam #larangan #niqab #pengangkutan awam #purdah #Tunisia #tutup muka #wanita
;