Belanda laksanakan pemeriksaan sempadan tambahan mulai 9 Dis

Bernama
November 12, 2024 13:45 MYT
Pemeriksaan di lapangan terbang hanya akan dilaksanakan ke atas penerbangan tertentu yang dianggap berisiko. - Gambar fail/REUTERS
THE HAGUE: Belanda akan melaksanakan pemeriksaan sempadan tambahan secara sementara bermula 9 Dis bagi membendung "migrasi tidak teratur dan pemerdagangan manusia," menurut Menteri Hal Ehwal Suaka dan Migrasi Marjolein Faber pada Isnin, lapor Xinhua.
"Sudah tiba masanya untuk menangani migrasi tidak teratur dan penyeludupan migran secara kukuh.
"Pemeriksaan sempadan akan dilaksanakan dengan cara yang meminimumkan gangguan terhadap trafik ekonomi dan pekerja di kawasan sempadan," kata Faber dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan di lapangan terbang hanya akan dilaksanakan ke atas penerbangan tertentu yang dianggap berisiko kepada penghijrahan tidak teratur atau jenayah rentas sempadan.
Cadangan ini telah mendapat kelulusan Kabinet Belanda.
Beliau menegaskan bahawa langkah ini adalah sementara dan akan dikuatkuasakan selama enam bulan.
Mengikut peraturan Eropah dan persetujuan sedia ada dengan negara jiran, individu yang tidak memenuhi syarat kemasukan di Belanda akan dihantar semula seperti yang ditetapkan, menurut kenyataan itu.
Langkah ini diambil selepas Jerman mengumumkan pada September untuk melaksanakan semula pemeriksaan pasport di semua sempadan daratnya bagi menangani migrasi tidak teratur, ancaman keganasan, dan jenayah terancang merentas sempadan.
-- BERNAMA
#Belanda #pemeriksaan sempadan tambahan #migrasi tidak teratur #pemerdagangan manusia
;