Belanda hormati pendirian Malaysia berhubung isu Palestin - Anwar
Bernama
November 1, 2023 18:09 MYT
November 1, 2023 18:09 MYT
PUTRAJAYA: Belanda menghormati pendirian Malaysia berhubung isu Palestin serta bersetuju perlu ada langkah segera untuk menghentikan serangan Israel ke atas Palestin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte ketika mereka mengadakan pertemuan di Seri Perdana di sini hari ini sempena lawatan kerja dua hari Rutte ke Malaysia.
"Dia (Rutte) menjawab mengatakan pertamanya, dia setuju supaya ada langkah segerakan dan langkah berhentikan serangan. Dia minta laluan supaya dia terus menghubungi pemerintah Israel dan juga melalui Qatar supaya dapat ada rundingan hentikan serangan itu.
"Keduanya, dia setuju ada langkah tambahan seperti mana dia dapat teruskan melalui Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi. Jadi, saya sekurangnya puas hati dia (Rutte) dapat memahami pendirian kita (dalam isu Palestin)," kata beliau kepada pemberita selepas pertemuannya dengan Rutte.
Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak.
Pada 24 Okt lepas, Anwar berkata Malaysia akan kekal bebas dan terus mempertahankan kebebasan negara dan memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.
Anwar turut memuji sikap Rutte yang mengambil sikap lunak untuk mendengar dan memberikan pandangan mengenai isu Palestin selain memberi jaminan supaya pandangan Malaysia dibawa untuk perhatian rakan-rakan di Eropah
"Dia (Rutte) akui bahawa sentimen rakyat Belanda telah berubah, kalau dulunya mendukung serangan Israel dan sikap Eropah ini ... sekarang majoriti itu tidak bersetuju tentang serangan berterusan," kata beliau.
Anwar turut menegaskan perlu ada usaha untuk menjamin keamanan dengan menghentikan serta-merta serangan ganas dan biadap terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa seperti anak kecil, wanita, orang awam serta kawasan hospital dan sekolah.
"... ini (serangan ke atas Palestin) hanya kerja yang paling biadap dan tidak bertamadun," kata beliau.
-- BERNAMA