Belajar memandu dari YouTube, budak 8 tahun pandu van ke McDonald's

Madiha Abdullah
April 13, 2017 05:00 MYT
Demi menikmati burger, kanak-kanak berusia 8 tahun itu sanggup memandu kenderaan bapanya. - Gambar hiasan/pixabay.com
KITA biasa mendengar orang belajar bermain muzik, memasak dan membuat kraftangan melalui laman YouTube.
Namun kes kali ini agak berbeza dan berbahaya kerana membabitkan keselamatan orang ramai.
Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun di Ohio, Amerika Syarikat, belajar memandu melalui YouTube sebelum memandu ke restoran McDonald's berdekatan rumahnya.
Kejadian itu berlaku di sebuah bandar di East Palestine, Ohio, Ahad lalu, kira-kira jam 8 malam.
Bapa kanak-kanak itu dikatakan masuk tidur awal, manakala ibunya pula tertidur di ruang tamu ketika kejadian.
Menurut laporan saluran Fox 8, kanak-kanak itu memandu van milik bapanya sejauh 1.6 kilometer, dengan adik perempuannya berada di tempat duduk belakang.
Difahamkan, untuk sampai ke restoran makanan segera itu, kanak-kanak itu perlu memandu melalui empat persimpangan, menyeberangi landasan kereta api dan beberapa selekoh tajam.
Dia bagaimanapun memandu dalam had kelajuan yang ditetapkan dan selamat sampai ke restoran itu.
Saksi yang melihat kanak-kanak itu memandu kemudiannya menghubungi keluarga dan pihak polis.
Polis sedang menyiasat kes ini dan belum membuat keputusan sama ada akan mengenakan sebarang tindakan terhadap kanak-kanak itu dan ibu bapanya.
#Kanak kanak memandu #McDonalds #YouTube