Bekas Wanita Pertama AS, Rosalynn Carter meninggal dunia
Agensi
November 19, 2023 07:00 MYT
November 19, 2023 07:00 MYT
ATLANTA: BEKAS Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Rosalynn Carter, yang juga isteri kepada Presiden AS ke-39 Jimmy Carter menghembuskan nafas terakhir pada usia 96 tahun.
Pertubuhan hak asasi kemanusiaan yang diasaskan mendiang Carter mengesahkan berita pemergian mendiang.
Pada Mei lalu, Carter disahkan menghidap penyakit demensia.
Sebelum ini, media melaporkan Carter dimasukkan ke pusat jagaan di Georgia pada Jumaat untuk menghabiskan masa bersama suaminya yang kini berusia 99 tahun, yang juga telah berada dalam pusat jagaan itu sejak Februari.
“Bekas Wanita Pertama Rosalynn Carter, yang juga merupakan aktivis kesihatan mental, penjagaan dan hak wanita, meninggal dunia Ahad, 19 November, pada 2.10 petang.
“Carter meninggal dunia di rumahnya di Plains, Georgia, pada usia 96 tahun di samping keluarganya,” ujar kenyataan itu.
Usia pernikahan pasangan berkenaan mencecah 77 tahun dan merupakan pasangan presiden yang paling lama berkahwin.
Selain suaimi, mendiang Carter juga meninggalkan empat orang anak iaitu Jack, Chip, Jeff dan Amy selain 11 cucu dan 14 cicit.
Carter memainkan peranan penting termasuk memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak, serta advokasi untuk kesihatan mental menerusi badan amal Pusat Carter.
Beliau merupakan sebahagian dalam misi rasmi pindaan hak sama rata Perlembagaan AS untuk memastikan layanan adil terhadap wanita di bawah undang-undang.