Bekas Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld meninggal dunia

Astro Awani
Jun 30, 2021 07:52 MYT
Semasa hayatnya, Rumsfeld dikenali individu utama menggerakkan perang menentang keganasan di bawah pentabdiran Presiden George W. Bush ketika itu. - Foto fail/REUTERS
BEKAS Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Donald Rumsfeld meninggal dunia di New Mexico.
Mendiang, yang merupakan arkitek perang Iraq, meninggal dunia pada usia 88 tahun.
Berita kematian Rumsfeld diumumkan keluarganya di laman Twitter.
Menurut status di laman Twitter itu, keluarganya berada di sisi mendiang semasa detik akhir hidupnya.
Beliau meninggal dunia di kediamannya di Bandar Taos.
Semasa hayatnya, Rumsfeld dikenali individu utama menggerakkan perang menentang keganasan di bawah pentabdiran Presiden George W. Bush ketika itu.
Amerika Syarikat melancarkan perang ke atas Afghanistan selepas serangan 11 September 2001 serta menceroboh Iraq pada 2003.
Bush menggambarkan Rumsfeld sebagai seorang yang berani dan menjadi contoh individu yang tidak lari daripada tanggungjawab.
Pada 1975, Rumsfeld menjadi individu termuda dinamakan sebagai Setiausaha Pertahanan dan kemudiannya menjadi individu tertua berkhidmat di Pentagon ketika di bawah pentadbiran Bush.
Selepas bersara pada 2006 disebabkan konflik, Rumsfeld mengetuai Yayasan Rumsfeld untuk mempromosikan kerja-kerja kebajikan dan memberi khidmat serta membantu keluarga veteran perang.
#Donald Rumsfeld #Setiausaha Pertahanan #Amerika Syarikat #meninggal dunia #New Mexico
;