Bekas raja Juan Carlos pulang ke Sepanyol buat kali kedua sejak hidup dalam buangan

Bernama
April 20, 2023 17:14 MYT
Menurut jurucakap kerajaan Sepanyol, Isabel Rodriguez, ketibaan Juan Carlos itu disifatkan sebagai "lawatan peribadi" dan "keputusan peribadi". - Reuters/Francois Lenoir
MADRID: Bekas Raja Sepanyol Juan Carlos I kembali ke tanah airnya pada Rabu buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun sejak berpindah ke Abu Dhabi pada Ogos 2020.
Juan Carlos, 85, berlepas ke Sepanyol dari London dengan menaiki jet peribadi.
Menurut jurucakap kerajaan Sepanyol, Isabel Rodriguez, ketibaan Juan Carlos itu disifatkan sebagai "lawatan peribadi" dan "keputusan peribadi", lapor Xinhua.
Juan Carlos dipuji oleh sesetengah pihak kerana membantu "peralihan" Sepanyol selepas kematian Jeneral Francisco Franco pada akhir 1975, namun imejnya tercemar sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan skandal kewangan dan kontroversi kehidupan peribadinya.
Pada 2020, siasatan telah dilancarkan setelah beliau disyaki menerima sogokan daripada firma Sepanyol untuk mendapatkan kontrak membina rangkaian kereta api berkelajuan tinggi antara Madinah dan Mekah di Arab Saudi.
Siasatan itu ditutup pada 2022, sebahagiannya disebabkan oleh undang-undang yang terhad selain Juan Carlos kebal daripada pendakwaan sebelum beliau melepaskan takhta.
-- BERNAMA
#Juan Carlos I #skandal kewangan #kehidupan peribadi #menerima sogokan
;