Bekas Presiden Tunisia meninggal dunia
Hasimi Muhamad
September 19, 2019 05:20 MYT
September 19, 2019 05:20 MYT
Bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali yang hidup dalam buangan dilapor meninggal dunia di Arab Saudi pada usia 83 tahun.
Menurut peguam keluarganya, Mounir Ben Salha, Zine El Abidine meninggal dunia di Jeddah sebelum jenazahnya dipindahkan ke Mekah.
Difahamkan, pemimpin yang memimpin Tunisia selama 23 tahun itu dirawat di unit rawatan rapi di sebuah hospital sejak tiga bulan lalu akibat kanser prostat yang dihidapinya.
Kematian Zine El Abidine disahkan Menteri Luar Tunisia, Khemaies Jhinaoui.
Zine El Abidine melarikan diri dari Tunisia pada Januari 2011 dalam pemberontakan rakyat yang mencetuskan 'Arab Spring’.
Beliau memerintah Tunisia dari tahun 1987 sehingga 2011.
Setakat ini, pihak keluarga masih belum memaklumkan mengenai majlis pengebumian.