Bekas Presiden Soviet Mikhail Gorbachev meninggal dunia
Astro Awani
Ogos 30, 2022 05:20 MYT
Ogos 30, 2022 05:20 MYT
MOSCOW: Agensi berita Rusia melaporkan bekas Presiden Soviet, Mikhail Gorbachev meninggal dunia pada usia 91 tahun.
Laporan agensi berita tempatan Tass, RIA Novosti dan Interfax itu memetik kenyataan Hospital Klinikal Pusat.
Pejabat Gorbachev sebelum ini memaklumkan beliau sedang menjalani rawatan di hospital.
Gorbachev dikenali kerana menamatkan Perang Dingin tanpa pertumpahan darah tetapi gagal menghalang perpecahan Kesatuan Soviet pada 1991.
Mendiang memeterai perjanjian pengurangan senjata dengan Amerika Syarikat dan perkongsian dengan kuasa barat untuk menghapuskan Tirai Besi yang telah memisahkan Eropah sejak Perang Dunia Kedua sekali gus membawa kepada penyatuan semula Jerman.
Apabila protes pro-demokrasi melanda negara-negara blok Soviet di Eropah Timur komunis pada tahun 1989, beliau mengelak daripada menggunakan kekerasan.
Situasi ini tidak seperti pemimpin Kremlin terdahulu yang mengerahkan kereta kebal untuk menghancurkan pemberontakan di Hungary pada tahun 1956 dan Czechoslovakia pada tahun 1968.
Tetapi demonstrasi itu telah mencetuskan aspirasi untuk kuasa pemerintahan autonomi di 15 republik Kesatuan Soviet, yang runtuh dalam tempoh dua tahun seterusnya.