Bekas presiden Peru tinggalkan nota sebelum bunuh diri
Agensi
April 20, 2019 15:04 MYT
April 20, 2019 15:04 MYT
Bekas presiden Peru, Alan Garcia yang menembak mati dirinya sendiri pada 17 April lalu dilaporkan meninggalkan satu nota sebelum nekad mengakhiri nyawanya.
Nota yang dibacakan oleh ahli keluarga Garcia ketika upacara pengebumiannya itu menyatakan bahawa dia membunuh diri supaya dirinya tidak dapat dimalukan oleh musuh-musuh politiknya, lapor Reuters.
Dalam upacara pengebumian yang dianjurkan oleh parti politiknya APRA, nota tersebut dibacakan oleh salah seorang anaknya sebagai penghormatan kepada Garcia.
“Saya tidak akan dimalukan,” baca Luciana Garcia, memetik nota yang ditinggalkan oleh bapanya. “Saya lihat orang lain ditunjukkan dengan gari tangan, hidup dalam sengsara - tetapi Alan Garcia tidak perlu menderita dengan ketidakadilan ini.”
Tambahnya dalam nota tersebut: “Atas sebab ini, saya tinggalkan kepada anak saya maruah atas setiap keputusan saya. Kepada rakan-rakan saya, (saya tinggalkan) sifat kebanggaan saya; dan kepada musuh-musuh saya, mayat saya sebagai tanda penghinaan kepada mereka.”
Nota itu menggambarkan perpecahan politik yang kian merebak di Amerika Latin susulan siasatan kes membabitkan syarikat pembinaan Brazil, Odebrecht.
Garcia membunuh diri apabila polis tiba di kediamannya untuk menahannya atas dakwaan dikaitkan dengan kes rasuah membabitkan Odebrecht. Ia merupakan antara kes rasuah terbesar di Amerika Latin.
Pendakwa raya Peru yang menyiasat kes tersebut berkata bahawa mereka telah mengumpul bukti yang cukup untuk menahan Garcia pra-perbicaraan sementara mereka menyediakan caj terhadapnya.
Sehingga kematiannya, Garcia menegaskan bahawa dia tidak bersalah dan menganggap bahawa siasatan terhadapnya berunsur politik.
“Dalam situasi ini yang didominasi oleh khabar angin dan kebencian yang dipercayai oleh orang ramai… Saya telah lihat bagaimana prosedur ini sebenarnya digunakan untuk memalukan, bukan untuk mencari kebenaran,” tulis Garcia dalam nota tersebut.
Bagaimanapun, kesahihan nota tersebut tidak dapat disahkan oleh agensi berita.
Presiden Martin Vizcarra telah menawarkan kepada keluarganya satu upacara pengebumian dianjurkan oleh kerajaan disertai dengan penghormatan rasmi yang selalunya diterima oleh bekas presiden lain.
Namun, keluarga Garcia menolak tawaran tersebut dan sebaliknya menganjurkan upacara yang hanya dihadiri keluarga, sahabat dan rakan sekutu bekas presiden tersebut.