Bekas presiden Peru bunuh diri sebelum ditahan polis
Agensi
April 17, 2019 05:40 MYT
April 17, 2019 05:40 MYT
KETIKA polis sedang bersedia untuk menahannya bagi membantu dalam kes rasuah, bekas presiden Peru Alan Garcia ditemui berlumuran darah akibat cubaan membunuh diri dengan menembak diri sendiri di bahagian kepala.
Kematiannya disahkan oleh Presiden Martin Vizcarra menerusi satu muat naik di akaun laman sosial Twitter miliknya.
Vizcarra berkata, “Dengan penuh dukacita, saya mengucapkan takziah kepada keluarganya dan kepada mereka yang beliau sayangi.”
Garcia, 69 tahun, dihantar ke hospital di ibu kota Lima pada Rabu dalam keadaan kritikal, menurut laporan berita tempatan Andina.
Dalam satu kenyataan oleh peguamnya Erasmo Reyna di luar hospital Casimiro Ulloa, beliau mengesahkan: “Bekas presiden telah membuat keputusan untuk menembak dirinya sendiri.”
Menurut Menteri Dalam Negeri, Carlos Morán, polis tiba di kediaman Garcia pada 6.30 pagi untuk menahannya bersama waran tangkap.
Namun apabila pihak polis tiba di rumahnya, Garcia meminta mereka untuk menghubungi peguamnya lalu terus masuk ke dalam bilik tidurnya.
Sejurus selepas itu, terdengar satu bunyi tembakan.
Pihak polis memecah masuk ke dalam bilik tersebut dan menemui Garcia dalam posisi terduduk dengan luka di bahagian kepala.
Kementerian Kesihatan negara itu kemudian mengesahkan bahawa Garcia maut akibat kecederaan tersebut.
Garcia memegang jawatan Presiden dari 1985 ke 1990 dan sekali lagi dari 2006 ke 2011.
Beliau disiasat kerana dipercayai terlibat dalam kes rasuah yang dikatakan antara yang terbesar di rantau itu dan membabitkan beberapa pemimpin negara lain di Amerika Latin.