Bekas Presiden Pakistan Pervez Musharraf meninggal dunia
Astro Awani
Februari 5, 2023 15:41 MYT
Februari 5, 2023 15:41 MYT
DUBAI: Bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf dilapor meninggal dunia pada Ahad di sebuah hospital di Dubai akibat sakit berpanjangan.
Memetik laporan Al Jazeera, pemergian Pervez pada usia 79 tahun disahkan oleh sumber tentera.
Bekas jeneral itu dilapor menghidap amyloidosis yang menyebabkan kerosakan pada bahagian organ.
Difahamkan, Pervez telah lama terlantar dan berkerusi roda.
Dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan media tentera, kakitangan kanan tentera tersebut menyatakan ucapan "takziah" di atas pemergian Pervez.
“Semoga Allah merahmati Allahyarham dan memberikan kekuatan kepada keluarganya," demikian lapor Al Jazeera.
Pada 2019, Mahkamah Anti Keganasan Pakistan menjatuhkan hukuman mati ke atas Pervez atas tuduhan mengkhianat dan mencemarkan perlembagaan negara itu.
Pervez meninggalkan isterinya, Sehba Musharraf dan dua cahaya mata.
Allahyarham merupakan seorang jeneral empat bintang dan memerintah Pakistan hampir sedekad.
Beliau mengambilalih tampuk pemerintahan pada 12 Oktober 1999 dengan menyisihkan Nawaz Sharif yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.
Pada 18 Ogos 2008, beliau meletak jawatan sebagai Presiden Pakistan setelah mengalami tekanan oleh kerajaan campuran.
Beliau kemudian memilih tinggal di London selama empat tahun sebelum kembali ke Pakistan pada 24 Mac 2013, bagi menyertai pilihan raya.