Bekas Presiden Maldives cedera terkena serpihan bom

Agensi
Mei 7, 2021 15:15 MYT
Nasheed dilaporkan baru hendak memasuki keretanya ketika letupan terjadi. - Reuters
MALE: Bekas Presiden Maldives, Mohamed Nasheed digegaskan ke hospital pada Jumaat untuk menjalani pembedahan selepas terkena serpihan bom yang meledak di luar rumahnya.
Reuters melaporkan, dalam kejadian yang disahkan jurucakap partinya itu, belum ada pihak yang tampil bertanggungjawab melakukan serangan itu.
Kejadian di ibu negara Maldives itu mencetuskan kebimbangan tentang isu keselamatan di kepulauan tropika berkenaan yang terkenal dengan penginapan resort mewah.
Nasheed, yang ketika ini bertindak sebagai speaker Parlimen, dilaporkan baru hendak memasuki keretanya ketika letupan terjadi. Media tempatan melaporkan, perkakasan bom buatan sendiri itu dipasang pada sebuah motosikal yang diparkir berdekatan dengan keretanya.
Nasheed telah dikejarkan ke hospital untuk merawat kecederaannya.
"Dia stabil buat masa ini, pembedahan masih dijalankan," ujar jurucakap dari parti pimpinan Nasheed, Parti Demokratik Maldives (MDP), pada Jumaat.
Negara gugusan kepulauan itu sebelum ini terkenal dengan masalah pergolakan politik, selain ancaman militan.
Pada 2015, bekas presiden Abdulla Yameen nyaris terkorban dalam satu insiden letupan bom dala bot lajunya. Pada 2007 pula, 12 orang cedera apabila bom yang disasarkan ke atas pelancong asing diletupkan oleh ahli kumpulan militan Islam.
Presiden Ibrahim Mohamed Solih, yang merupakan sekutu rapat Nasheed, menyifatkan insiden bom itu suatu serangan ke ata demokrasi dan ekonomi Maldives.
#bom #Maldives #Bekas Presiden #Mohamed Nasheed #serangan
;