Bekas Presiden AS Jimmy Carter pilih akhiri hayat di bawah jagaan hospis

Astro Awani
Februari 19, 2023 08:00 MYT
Bekas Presiden AS Jimmy Carter pilih akhiri hayat di bawah jagaan hospis di rumah bersama keluarga. -Gambar fail/AP
ATLANTA: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Jimmy Carter enggan meneruskan rawatan di hospital sebaliknya memilih untuk menjalani jagaan di rumah.
Menurut kenyataan Carter Center pada Sabtu, bekas presiden itu memutuskan untuk menerima penjagaan hospis dan menghabiskan sisa hayatnya di rumah bersama keluarga.
"Beliau mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan pasukan perubatannya.
"Keluarga Carter mohon diberikan privasi pada ketika ini dan berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh para penyokongnya," kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Bekas presiden itu telah didiagnosis mengalami beberapa masalah kesihatan, termasuk melanoma yang merebak ke hati dan otak.
Carter, 98, yang juga pemimpin parti Demokrat, berkhidmat sebagai Presiden AS dari Januari 1977 hingga Januari 1981.
Beliau disingkirkan daripada jawatan dalam pilihan raya tahun 1980 apabila pengundi memilih pencabarnya yang juga bekas pelakon dan gabenor California dari Parti Republikan, Ronald Reagan.
Beliau merupakan satu-satunya bekas presiden paling lama masih hidup selepas meninggalkan White House berbanding mana-mana bekas presiden dalam sejarah AS.
Carter telah dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 2002 sebagai pengiktirafan atas usahanya mencari penyelesaian damai dalam konflik antarabangsa, selain memajukan demokrasi dan hak asasi manusia, serta menggalakkan pembangunan ekonomi dan sosial.
Carter dan isterinya Rosalynn, yang dikahwininya pada tahun 1946, mempunyai empat orang anak.
#Jimmy Carter #Carter Center #jagaan hospis #bekas presiden AS
;