Bekas presiden Iran Abolhassan Banisadr meninggal dunia
Astro Awani
Oktober 9, 2021 07:30 MYT
Oktober 9, 2021 07:30 MYT
PRESIDEN pertama Iran selepas Revolusi Islam 1979, Abolhassan Banisadr, meninggal dunia di sebuah hospital di Paris pada Sabtu.
Allahyarham berusia 88 tahun.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital di tenggara Paris, setelah sekian lama sakit.
Allahyarham dipilih sebagai presiden pada Januari 1980 sewaktu kemuncak revolusi tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, beliau digulingkan Parlimen Iran pada 1981 selepas beliau menentang pemimpin tertinggi Allahyarham Ayatollah Ruhollah Khomeini.
Sejak itu, beliau membawa diri dan menetap di Perancis.
Dilahirkan pada 22 Mac 1933 di sebuah kampung berhampiran Hamadan di barat Iran, Abolhassan adalah penyokong Islam liberal.
Sejak berusia 17 tahun lagi, beliau sudah menjadi aktivis dalam barisan kebangsaan Iran, gerakan yang dipimpin nasionalis Mohammad Mossadegh.
Setelah selesai menamatkan pengajian dalam bidang teologi, ekonomi dan sosiologi, Abolhassan menjadi penentang utama kepada Rejim Shah Iran.
Beliau terpaksa meninggalkan Iran pada 1963 dan menetap di Paris kerana menjadi buruan polis.
Pada 1970, beliau menganjurkan penyatuan pembangkang Iran bersama Khomeini, individu yang diasingkan di Iraq.
Pada Okt 1978, Komeini pergi ke Perancis dan Abolhassan menjadi salah seorang rakan dan penasihat rapatnya.
Pada 1 Feb 1979, Abolhassan berada di dalam pesawat yang membawa Khomeini kembali ke iran.
Beliau berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi dan Hal Ehwal Luar Negeri Iran.
Individu yang disebut sebagai “anak Khomeini” ini dipilih sebagai presiden Republik Islam Iran pada 26 Jan 1980.