Bekas Presiden Indonesia, Habibie meninggal dunia

Astro Awani
September 11, 2019 19:27 MYT
BJ Habibie menghembuskan nafas terakhir pada usia 83 tahun di Jakarta, Indonesia. - Gambar fail
Bekas Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau lebih dikenali sebagai BJ Habibie, meninggal dunia pada usia 83 tahun di Jakarta pada pukul 6.05 petang (waktu tempatan).
Habibie menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya di Hospital Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto.
Berita duka pemergian Presiden ketiga negara itu disahkan anak lelakinya, Thareq Kemal.
Allahyarham Habibie mula menjalani rawatan secara intensif di hospital tersebut sejak 1 September lalu berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya.
Habibie menggantikan Presiden Suharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.
Pada Mac 2018, Allahyarham pernah dirawat di Munich, Jerman akibat pelbagai komplikasi berkaitan jantung, paru-paru dan mengalami "asphyxia".
#Habibie meninggal dunia #Presiden Indonesia
;