Bekas presiden Filipina dipecat daripada jawatan Timbalan Speaker

Bernama
November 8, 2023 12:48 MYT
Keputusan untuk memecat Arroyo dibuat oleh kepimpinan dewan dalam kapasiti kolektifnya dan selepas pertimbangan yang teliti. - Gambar fail/FB Gloria Macapagal Arroyo
MANILA: Dewan Perwakilan Filipina pada Selasa melucutkan jawatan Timbalan Speaker yang dipegang oleh Gloria Macapagal-Arroyo, dengan bekas presiden Filipina itu kini hanya anggota biasa dewan, lapor Xinhua.
Pada sesi pleno anggota dewan perwakilan mengundi untuk menggantikan Arroyo, yang mewakili sebuah daerah di wilayah Pampanga, dengan seorang anggota dewan perundangan dari wilayah Isabela.
Turut digugurkan sebagai timbalan speaker ialah Isidro Ungab, anggota dewan perundangan dari Davao City. Seorang anggota dewan perundangan dari wilayah Lanao del Sur menggantikannya.
Bagaimanapun Arroyo masih belum mengulas mengenai perkara itu.
Dalam satu kenyataan, Ketua Majoriti Dewan Manuel Jose Dalipe berkata keputusan untuk memecat Arroyo dan Ungab dibuat oleh kepimpinan dewan dalam kapasiti kolektifnya dan selepas pertimbangan yang teliti.
"Keputusan ini berpunca daripada tindakan dua daripada sembilan timbalan speaker, Macapagal-Arroyo dan Ungab, yang memilih untuk tidak menandatangani resolusi penting Dewan yang disokong oleh seluruh kepimpinan," katanya.
Pada Mei, Arroyo juga dilucutkan gelaran sebagai Timbalan Speaker Kanan Dewan.
--BERNAMA-XINHUA
#Dewan Perwakilan Filipina #lucut jawatan #Timbalan Speaker #bekas presiden filipina #Gloria Macapagal-Arroyo
;