Bekas presiden Brazil diberi kata dua, serah diri atau berdepan tangkapan
Bernama
April 6, 2018 12:52 MYT
April 6, 2018 12:52 MYT
Seorang hakim di Brazil pada Khamis memerintahkan agar bekas presiden yang ingin bertanding semula, Luiz Inacio Lula da Silva, menyerah diri atau berdepan tangkapan.
Sergio Moro mengeluarkan perintah itu beberapa jam selepas Mahkamah Agung Persekutuan menolak permohonan habeas corpus yang bertujuan mengelak Lula menjalani hukuman penjara 12 tahun sehingga proses rayuan beliau selesai.
Moro memerintahkan Lula menyerah diri kepada pihak berkuasa di Curitiba, ibu kota Negeri Parana, sebelum pukul 5 petang waktu tempatan (2000 GMT) pada Jumaat.
Hakim itu berkata satu tempat khas telah disediakan di ibu pejabat polis persekutuan untuk Lula memulakan hukumannya.
"Bekas presiden itu akan diasingkan daripada banduan lain, dan tidak akan berdepan risiko diapa-apakan secara moral atau fizikal," katanya.
Tahun lepas, Moro mensabitkan Lula atas kesalahan menerima faedah-faedah istimewa daripada sebuah firma pembinaan utama yang memenangi kontrak kerajaan yang menguntungkan dari Petrobras, termasuk penggunaan sebuah apartmen mewah di tepi pantai.
Peguam Lula, Cristiano Zanin, bagaimanapun membantah tarikh akhir yang ditetapkan atas alasan anak guamnya masih boleh memfailkan lagi rayuan kepada Mahkamah Agung Persekutuan dan Mahkamah Agung Keadilan sebelum 10 April.
Lula, yang mendahului dalam pilihan raya presiden meskipun berdepan beberapa kes di mahkamah, menafikan sebarang salah laku dan berkata beliau dianiaya untuk menghalangnya daripada bertanding semula.
Hukuman asal yang dijatuhi ke atas Lula, iaitu penjara sembilan tahun lebih, telah ditambah kepada 12 tahun oleh sebuah mahkamah rayuan pada Januari.
-- BERNAMA-NNN-XINHUA
#Bekas Presiden
#bertanding
#Brazil
#Habeas Corpus
#hakim
#Luiz Inacio Lula da Silva
#mahkamah
#Mahkamah Agung Persekutuan
#penjara
#pilihan raya
#presiden
#serah diri
#Sergio Moro
#tangkap