Bekas Presiden Bolivia Morales akan bertanding semula jawatan

Bernama
September 25, 2023 19:37 MYT
Morales menjadi presiden pribumi pertama negara Amerika Selatan itu pada 2006. -Gambar fail/Reuters
HAVANA: Bekas presiden Bolivia Evo Morales mengumumkan hasratnya untuk bertanding semula dalam pilihan raya akan datang pada 2025, menurut satu catatan di Facebook pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Ahli politik berhaluan kiri berusia 63 tahun itu berkata bahawa beliau terpanggil untuk memenuhi permintaan penyokong-penyokongnya untuk bertanding semula berikutan serangan yang dilancarkan oleh kerajaan terhadapnya.
"Saya akan berikan segala yang saya mampu. Kami masih memiliki kekuatan," tulis Morales.
Morales menjadi presiden pribumi pertama negara Amerika Selatan itu pada 2006.
Selepas Mahkamah Perlembagaan membatalkan had tempoh penggalnya, beliau memohon pemilihan semula kali ketiga pada Oktober 2019.
Beliau mengisytiharkan dirinya sebagai pemenang pilihan raya presiden, manakala parti pembangkang menuduhnya melakukan penipuan.
Pergolakan berlaku, dan di bawah tekanan tentera, Morales meletak jawatan dan hidup dalam buangan di Mexico dan Argentina selama setahun. Penyokongnya menyifatkan ia sebagai rampasan kuasa.
Jeanine Anez dilantik menjadi presiden sementara, dan pilihan raya pada Oktober 2020 dimenangi oleh Luis Arce dari parti sosialis MAS pimpinan Morales.
Anez dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada 2022 kerana mengabaikan tugas dan pelanggaran perlembagaan.
Aktivis hak asasi manusia menyuarakankebimbangan mengenai kebebasan badan kehakiman Bolivia.
-- BERNAMA
#Argentina #Facebook #pemilihan semula #rampasan kuasa
;