Bekas Presiden Afghanistan Hamid Karzai seru dunia bekerjasama dengan Taliban

Bernama
Disember 24, 2021 15:14 MYT
Karzai juga mengalu-alukan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang baru-baru ini membenarkan bayaran bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan. - AP
WASHINGTON: Bekas Presiden Afghanistan Hamid Karzai menyeru masyarakat antarabangsa supaya bekerjasama dengan Taliban, lapor Sputnik.
Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan CNN dan katanya "dunia perlu bekerjasama dengan Taliban".
"Realitinya Taliban kini menjadi pihak berkuasa de-facto di negara itu, jadi mereka perlu bekerjasama dengan mereka untuk membolehkan bantuan dapat disampaikan kepada rakyat Afghanistan," katanya.
Karzai juga mengalu-alukan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baru-baru ini membenarkan bayaran bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan walaupun terdapat sekatan. Resolusi yang dicadangkan Amerika Syarikat itu diluluskan sebulat suara pada Rabu.
Taliban mengambil alih Afghanistan pada Ogos, menamatkan kehadiran tentera AS dan NATO selama bertahun-tahun yang turut menyaksikan pengunduran Presiden Ashraf Ghani.
-- BERNAMA
#Afghanistan #Taliban #Hamid Karzai #kerjasama global
;