Bekas PM Perancis, isteri dihukum penjara atas kesalahan salah guna dana awam

Hafizi Rosli
Jun 30, 2020 08:57 MYT
Fillon (gambar) dan isteri dihukum penjara atas kesalahan salah guna dana awam. -Gambar fail/Reuters
Bekas Perdana Menteri Perancis, Francois Fillon dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Paris atas kesalahan penyalahgunaan dana awam.
Fillon turut diarahkan membayar 375,000 euro dan larangan 10 tahun mencalonkan diri dalam pilihan raya.
Isterinya Penelope pula dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda 375,000 euro kerana terlibat sama dalam skandal berkenaan termasuk pembantunya Marc Joulad.
Fillon dituduh membayar isteri, anak-anaknya serta pembantunya Joulad ratusan ribu euro daripada dana awam untuk tugasan yang tidak memadai dan tidak wujud.
Fillon dan defendan lain diperintahkan membayar lebih 1 juta euro kepada Majlis Nasional Perancis.
Fillon merupakan perdana menteri di bawah Presiden Nicolas Sarkozy dari tahun 2007 hingga 2012.
Kes mula terungkai pada 2017 apabila akhbar tempatan menerbitkan laporan isteri dan dua orang anaknya menerima hampir 1 juta euro sebagai petugas Parlimen.
Beliau dilaporkan menyangkal laporan itu dengan menyatakan isterinya bekerja selama 15 tahun sebagai timbalannya dan menguruskan pelbagai tugas termasuk jadual serta mewakilkan beliau ke acara kebudayaan.
Kedua-dua anaknya juga dikatakan bekerja dalam posisi sama selama beberapa bulan.
Skandal itu menggagalkan kempennya untuk jawatan Presiden pada 2017 sekali gus memberi kemenangan kepada Emmanuel Macron.
#dana awam #Emmanuel Macron #Marc Joulad #Nicolas Sarkozy #Paris #Parlimen #penjara #Perdana Menteri #pilihan raya #tuntutan palsu
;