Bekas PM Pakistan Imran Khan didapati bersalah, dihukum penjara tiga tahun

Astro Awani
Ogos 5, 2023 17:18 MYT
Imran Khan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah dalam perbicaraan rasuah. -Gambar fail/Reuters
ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan rasuah.
Mahkamah di Islamabad mendapati beliau bersalah kerana tidak mengisytiharkan wang yang diperoleh hasil jualan hadiah negara secara haram.
Imran walau bagaimanapun menafikan semua dakwaan dan berkata akan membuat rayuan.
Hakim memerintahkan penahanannya serta-merta dan bekas PM itu kemudiannya ditahan di rumahnya di Lahore.
Keputusan itu sekali gus melucutkan kelayakannya memegang jawatan politik.
Imran Khan dilantik sebagai perdana menteri pada 2018 namun digulingkan dalam undi tidak percaya tahun lalu.
Sementara itu, ketika keputusan mahkamah diumumkan, orang ramai, termasuk beberapa peguam pendakwa, mula melaungkan "Imran Khan adalah pencuri" di luar bangunan.
Pada Mei, Imran Khan ditangkap kerana tidak hadir di mahkamah seperti yang diarahkan, namun kemudiannya dibebaskan setelah penahanan itu diisytiharkan sebagai tidak sah.
#Imran Khan #bekas PM Pakistan #hukuman penjara tiga tahun #perbicaraan rasuah
;