Bekas PM Mesir Sherif Ismail meninggal dunia pada usia 67

Bernama
Februari 5, 2023 11:19 MYT
Sherif Ismail berkhidmat sebagai perdana menteri Mesir antara 2015 dan 2018 serta pernah dilantik sebagai menteri petroleum dan sumber mineral dari 2013 hingga 2015. - Gambar fail BERNAMA
KAHERAH: Bekas Perdana Menteri Mesir Sherif Ismail meninggal dunia pada usia 67 tahun, lapor Xinhua memetik agensi berita rasmi Mesir MENA.
Ismail meninggal dunia pada Sabtu dan dilaporkan menghidap penyakit berkaitan sistem penghadaman, menurut laporan media sebelum ini.
Beliau berkhidmat sebagai perdana menteri Mesir antara 2015 dan 2018 serta pernah dilantik sebagai menteri petroleum dan sumber mineral dari 2013 hingga 2015.
Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi menzahirkan 'kesedihan yang mendalam' atas kematian Ismail.
"Beliau benar-benar seorang yang hebat, yang memikul tanggungjawab pada masa yang sukar dan bersedia menggalas tanggungjawab.
"Saya mengenali beliau sebagai seorang yang tidak mementingkan diri sendiri, berdedikasi, amanah, menjunjung kepentingan negara dan rakyatnya melebihi kepentingan peribadi," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Al- Sisi.
-- BERNAMA
#bekas Perdana Menteri Mesir #Sherif Ismail #meninggal dunia #abdel fattah al sisi
;