Bekas perdana menteri NZ dilantik utusan khas tangani keganasan
Bernama
April 4, 2023 18:47 MYT
April 4, 2023 18:47 MYT
WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand Chris Hipkins pada Selasa melantik Jacinda Ardern sebagai utusan khas Christchurch Call, inisiatif global yang diketuai New Zealand bagi memerangi keganasan dan ekstremisme selepas kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac 2019 yang membunuh 51 orang, lapor Xinhua.
Utusan khas itu akan melapor terus kepada perdana menteri.
Bekas perdana menteri itu menolak untuk menerima sebarang imbuhan sebagai utusan khas dan akan memulakan tugasnya pada 17 April, kata Hipkins.
"Christchurch Call merupakan keutamaan dasar luar kerajaan dan Jacinda Ardern berperanan untuk memenuhi matlamat menangani kandungan ganas pelampau dalam talian," kata Hipkins.
Beliau akan berkhidmat sebagai wakil kanan New Zealand dalam hal berkaitan Christchurch Call.
Christchurch Call ialah inisiatif global merentas kerajaan, sektor teknologi dan masyarakat sivil untuk menangani kandungan pengganas dan pelampau dalam talian.
-- BERNAMA