Bekas penyampai televisyen Afghanistan maut dalam letupan bom kereta
Agensi
November 7, 2020 20:06 MYT
November 7, 2020 20:06 MYT
KABUL: Seorang bekas penyampai stesen televisyen di Afghanistan antara tiga yang terbunuh dalam satu kejadian letupan bom kereta di ibu kota Kabul, Afghanistan pada Sabtu.
Lapor agensi berita AP yang memetik jurucakap polis, Ferdaws Faramarz, selain Yama Siawash, identiti dua lagi mangsa yang turut terbunuh dalam letupan itu belum dikenal pasti.
Katanya, setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.
"Bagaimanapun kita masih menjalankan siasatan bagi mengesan mereka yang bertanggungjawab," katanya di sini pada Sabtu.
Berdasarkan laporan awal, kejadian itu dikatakan berlaku berhampiran rumah Siawash dan kesemua mereka yang maut berada dalam kenderaan itu.
Seorang saksi, Mohammad Rafi berkata, ayah dan abang Siawash adalah individu pertama yang sampai ke lokasi sebaik letupan itu berlaku.
Siawash dikenali sebagai penyampai program politik di stesen televisyen TOLO yang terkenal di negara itu.
Keganasan di Afghanistan meningkat sejak kebelajangan ini dengan serangan kumpulan Daesh terhadap Universiti Kabul baru-baru ini mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang.
Mereka terbunuh selepas pengganas Daesh menyerbu universiti utama Afghanistan itu menggunakan pengebom nekad dan melepaskan tembakan rambang dalam serangan mengambil masa beberapa jam itu.
Serangan itu berlaku ketika berlangsung rundingan kerajaan Afghanistan dengan pihak Taliban untuk menamatkan perang di negara itu.
#pembaca berita maut
#letupan bom kereta
#Daesh
#Afghanistan
#keganasan
#serangan
#tembakan
#pengganas
#politik
#letupan
#bom
#kereta
#Kabul