Bekas pemimpin Peru Alberto Fujimori meninggal dunia

Astro Awani
September 12, 2024 08:40 MYT
Fujimori sering dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung sebelum ini. - Foto REUTERS
LIMA: Bekas pemimpin Peru, Alberto Fujimori, yang dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun atas kesalahan rasuah dan pencabulan hak asas manusia, meninggal dunia pada usia 86 tahun pada Rabu.
Perkara ini disahkan anak perempuannya, Keiko Fujimori yang memaklumkan bapanya sering dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung sebelum ini.
Pada 24 Disember 2017, bekas Presiden Pedro Pablo Kuczynski telah memberikan pengampunan kepadanya atas alasan kesihatan, tetapi pengampunan itu dibatalkan oleh Mahkamah Agung Peru pada Oktober 2018.
Keputusan untuk mengampuni beliau mengejutkan rakyat Peru, menyebabkan peletakan jawatan daripada Kabinet.
Ketika itu, seorang anggota undang-undang, Alberto de Belaunde memutuskan keluar dari parti pimpinan Presiden Pedro Pablo Kuczynski.
Terdahulu, parti Kuczynski dalam satu kenyataan memaklumkam laporan perubatan menunjukkan Fujimori, yang memerintah Peru dari 1990 hingga 2000, mengalami penyakit yang progresif, degeneratif dan tidak dapat disembuhkan.
Fujimori telah dimasukkan ke hospital selepas mengalami tekanan darah rendah yang tidak normal sekali gus membahayakan nyawa.
Pada 2017, bekas pemimpin itu meminta maaf kepada rakyat negara berkenaan, dua hari selepas mendapat pengampunan Presiden Pedro Pablo Kuczynski.
Fujimori dikenali sebagai seorang tokoh yang dianggap memecah belahkan Peru serta menganggapnya sebagai seorang diktator.
Namun begitu, beliau turut dipuji kerana berjaya menamatkan krisis ekonomi dan pemberontakan berdarah semasa tempoh pemerintahan beliau dari 1990 hingga 2000.
#Rasuah #Alberto Fujimori #pemimpin Peru #meninggal dunia
;