Bekas pembantu Gabenor New York didakwa sebagai ejen kerajaan China

Agensi
September 3, 2024 07:15 MYT
Linda Sun yang juga bekas pembantu Gabenor New York meninggalkan Mahkamah Brooklyn ada Selasa selepas didakwa sebagai ejen kerajaan China. – Gambar Reuters
NEW YORK: Seorang bekas pembantu Gabenor New York, Kathy Hochul telah didakwa bertindak sebagai ejen kerajaan China.
Linda Sun, 41, didakwa dalam satu pertuduhan Persekutuan bahawa dia telah "bertindak atas arahan atau permintaan" dari China sepanjang kerjayanya selama 14 tahun dalam kerajaan negeri sebagai balasan untuk berjuta dolar.
Suami Sun, Christopher Hu turut dituduh sebagai ejen China
Pasangan itu ditangkap di kediaman mereka di Long Island yang bernilai AS$3.5 juta pada Selasa iaitu beberapa bulan selepas ia diserbu sebagai sebahagian daripada siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Sun telah dipecat hampir dua tahun lalu selepas pejabat Hochul yang menjadi Gabenor pada 2021, menemui "bukti salah laku" dan melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Pasangan itu dijangka didakwa di Mahkamah Persekutuan Brooklyn atas tuduhan termasuk melanggar Akta Pendaftaran Ejen Asing, penipuan visa, membawa masuk warga asing dan konspirasi pengubahan wang haram.
Menurut pendakwa raya, Sun bertindak sebagai "ejen kerajaan China yang tidak didedahkan" manakala suaminya "memudahkan pemindahan wang sogokan berjuta dolar dalam bentuk rasuah untuk kepentingan peribadi."
Sun juga didakwa telah menghalang wakil kerajaan Taiwan daripada bercakap dengan pegawai New York, memberikan surat jemputan tanpa kebenaran kepada AS untuk pegawai China dan menukar mesej pegawai negeri tentang China.
Sementara itu, pemangku penolong pengarah FBI, Christie Curtis berkata, Sun "menggunakan kedudukannya... untuk secara rahsia mempromosikan" agenda China yang "secara langsung mengancam keselamatan negara kita."
Sebagai balasan, pendakwa raya mendakwa, Sun diberi ganjaran yang berjumlah jutaan dolar selain diberikan tiket pertunjukan, kemudahan perjalanan dan makanan termasuk hidangan itik masin gaya Nanjing.
Pasangan itu juga didakwa mengubah sejumlah besar wang untuk membeli barangan mewah termasuk kereta Ferrari dan hartanah di Hawaii dan New York.
“Skim haram itu membuatkan kekayaan keluarga defendan sehingga mencecah jutaan dolar,” kata peguam Amerika Syarikat (AS), Breon Peace.
Dakwaan itu turut menyebut, suami Sun iaitu Hu pula mengendalikan beberapa perniagaan di New York termasuk mengeksport makanan laut, mengusahakan kedai minuman keras dan perundingan kewangan selain sering bergantung kepada perkhidmatan ejen pengangkutan sah kerajaan China.
Sun sebelum ini telah memegang beberapa jawatan tinggi di cawangan eksekutif negeri dan agensi negeri sejak 2012 dan berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Kakitangan di pejabat Hochul selama hampir setahun sebelum dipecat pada 2023.
Pejabat Gabenor berkata, Sun pada asalnya bekerja dengan pentadbiran Andrew Cuomo sebelum ini, yang berhenti pada Ogos 2021 di tengah-tengah dakwaan salah laku seksual.
“Individu ini diupah oleh dewan eksekutif lebih sedekad lalu,” kata seorang jurucakap kepada BBC.
"Kami telah menamatkan pekerjaannya pada Mac 2023 selepas menemui bukti salah laku, segera melaporkan tindakannya kepada penguatkuasa undang-undang dan telah membantu penguatkuasaan undang-undang sepanjang proses ini."
FBI telah menyerbu rumah pasangan itu yang bernilai AS$3.5 juta pada Julai lalu. - Agensi
#ejen China #bekas pembantu Gabenor #Gabenor New York #Linda Sun