Bekas pelawak Jimmy Morales menang pilihanraya presiden Guatemala
Astro Awani
Oktober 26, 2015 11:59 MYT
Oktober 26, 2015 11:59 MYT
Bekas pelawak, Jimmy Morales, yang tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, memenangi pilihanraya presiden Guatemala pada Ahad.
Kemenangannya susulan skandal rasuah yang menyaksikan penggulingan Otto Perez dan demonstrasi di seluruh negara itu.
MESTI TONTON: [VIDEO] Bekas Presiden Guantemala bertegas tidak bersalah
"Sebagai presiden, saya menerima satu mandat, dan mandat dari rakyat Guatemala adalah untuk memerangi rasuah yang semakin menular di negara ini,” kata Morales, 46, selepas keputusan undian menunjukkan beliau bakal memperoleh kemenangan besar.
Menurut laporan Reuters, Morales memenangi 72.4 peratus undian, setakat tamat perkiraan di 70 peratus pusat pembuangan undi, jauh di hadapan bekas wanita pertama Sandra Torres, yang memperoleh 27.6 peratus undi.
Ibu pejabat parti National Convergence Front (FCN) yang dipimpin Morales, dilihat meraikan kemenangan itu dengan meriah, jauh berbeza dengan pejabat parti pimpinan Torres yang kelihatan suram dan dipenuhi wartawan dan media yang menunggu.
MESTI TONTON: [VIDEO] Rakyat Guatemala gesa tubuh kerajaan baharu
Berbekalkan latar belakang bawahan dan pengalaman membintangi rancangan komedi TV selama 14 tahun, Morales dikatakan berjaya memenangi hati pengundi yang rata-rata berang dengan skandal rasuah membabitkan Otto Perez dan pentadbirannya, sehingga menyaksikan penggulingan Perez bulan lepas.
MESTI TONTON: [VIDEO] Presiden Guatemala terpaksa letak jawatan
#FCN
#Guatemala pilihanraya presiden 2015
#Jimmy Morales
#National Convergence Front
#pelawak
#Sandra Torres