Bekas pelajar didakwa tikam penuntut universiti

Bernama
September 19, 2023 12:15 MYT
Alex Ophel, bekas pelajar Australian National University pada 2017 didakwa atas lima pertuduhan cubaan membunuh selepas menyerang tutor dan rakan sekelasnya dengan kayu besbol, didapati tidak bersalah atas alasan kecacatan mental. - Gambar Twitter
CANBERRA: Seorang lelaki berusia 24 tahun didakwa atas beberapa pertuduhan kerana menikam penuntut Australian National University (ANU) dalam kejadian pada Isnin.
Australian Capital Territory (ACT) Policing dalam satu kenyataan pada Selasa berkata lelaki itu didakwa dengan dua pertuduhan cubaan membunuh, dua pertuduhan menyerang dan satu pertuduhan memiliki objek untuk membunuh, lapor Xinhua.
Dalam kejadian itu, dua pelajar perempuan, kedua-duanya berusia 20 tahun, dikejarkan ke hospital setelah cedera ditikam, dengan seorang daripadanya dalam keadaan kritikal.
Mangsa ketiga, lelaki berusia 34 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Penyerang dikenali sebagai Alex Ophel, bekas pelajar universiti itu, yang pada 2017 didakwa atas lima pertuduhan cubaan membunuh selepas menyerang tutor dan rakan sekelasnya dengan kayu besbol, tetapi didapati tidak bersalah atas alasan kecacatan mental.
ACT Policing berkata motif kejadian itu belum dikenal pasti. - BERNAMA
#bekas pelajar #bunuh #tikam #Alex Ophel
;