Bekas pekerja dakwa Facebook abai keselamatan pengguna, pentingkan keuntungan
Astro Awani
Oktober 8, 2021 10:31 MYT
Oktober 8, 2021 10:31 MYT
PERDEBATAN sama ada penggunaan laman media sosial adalah selamat atau sebaliknya kembali tercetus selepas tiga platform gergasi mengalami gangguan tempoh hari.
Malah, pendedahan sebelum ini menyatakan Facebook memberikan kedudukan yang tinggi kepada kandungan yang akan mewujudkan reaksi dalam kalangan penggunanya.
Perkara ini disuarakan bekas saintis data Facebook, Frances Haugen dalam keterangan kepada Senat.
Beliau antara lain mendakwa platform media sosial itu memberikan kelebihan kepada kandungan yang mewujudkan reaksi ekstrem dan akan meningkatkan keterlibatan pengguna.
Haugen yang turut disifatkan sebagai pemberi maklumat atau ‘whistleblower’ mendedahkan langkah ini akan menyebabkan pengguna 'like' dan 'share' kandungan tersebut yang seterusnya akan menggalakkan rakan mereka dan pencipta kandungan untuk menghasilkan lebih banyak kandungan baharu.
Tambahnya, Facebook sedar kesan buruk yang dihasilkan kepada remaja yang menggunakan Instagram dan tidak jujur tentang usahanya menghentikan elemen kebencian dan salah maklumat.
“Facebook tahu apabila mereka memilih kandungan, pengguna akan luangkan lebih masa menggunakan komputer. Kita luang lebih masa di platform mereka dan mereka buat wang.
“Facebook tahu melalui 'ranking' kandungan berdasarkan reaksi dan penglibatan pengguna, jika anda memberikan reaksi yang ekstrem, anda akan lebih teringin untuk menekan, komen dan kongsi.
"Ini menarik kerana jika anda menekan dan komen, ia bukanlah untuk kebaikan anda.
“Facebook tahu yang pengguna akan menghasilkan lebih banyak kandungan jika ia terima banyak 'like' komen dan dikongsi.
"Mark Zuckerberg mempunyai kedudukan yang unik dalam industri teknologi.
“Dia memegang 55 peratus saham dalam Facebook. Tiada syarikat lain yang dikawal secara unilateral.
"Akhirnya, Zuckerberg yang bertanggungjawab dan tiada orang yang buat Zuckerberg bertanggungjawab kecuali dirinya,” jelasnya.
Niaga AWANI: Pendedahan Facebook | Haugen: Zuckerberg bertanggungjawab
Haugen turut percaya yang Zuckerberg tahu hasil kajian dalaman yang menunjukkan kekhuatiran potensi impak negatif Instagram kepada pengguna.
Haugen muncul pada rancangan '60 Minutes' malam Ahad lalu, dengan berkata Facebook membuat beberapa keputusan yang meletakkan kepentingan perniagaan melangkaui keselamatan pengguna.
ARTIKEL BERKAITAN: Whistleblower says Facebook put profit before reining in hate speech
Susulan kenyataan itu, Zuckerberg yang merupakan ketua pegawai eksekutif Facebook Inc menafikan tuduhan bahawa ia meletakkan keuntungan melebihi keselamatan pengguna.
"Adalah sukar untuk melihat liputan yang tidak menggambarkan motif serta kerja kami.
"Pada peringkat paling asas, saya merasakan kebanyakan daripada kita tidak memperakui gambaran salah yang diberikan terhadap syarikat ini," tulisnya dalam satu nota kepada kakitangan yang turut dikongsi kepada umum.