Bekas pegawai polis didapati bersalah atas pembunuhan Daunte Wright

Astro Awani
Disember 23, 2021 05:47 MYT
Atas kesalahan itu, Potter boleh dihukum penjara selama 15 tahun. - Foto REUTERS
MINNEAPOLIS: Bekas pegawai polis Kimberly Potter pada Khamis didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan menyebabkan kematian semasa memberkas Daunte Wright.
Juri seramai 12 anggota mendapati Potter, 49, bertanggungjawab atas kematian Wright, 20, semasa operasi trafik di Brooklyn Center, Minneapolis pada 11 April lalu.
Potter didakwa melepaskan tembakan ke arah Wright pada bahagian dada selepas menyangka senjata yang digunakan itu adalah senjata renjat.
Potter tidak menunjukkan sebarang reaksi semasa Hakim Regina Chu membacakan keputusan juri.
Chu turut menolak permohonan peguam Potter supaya membenarkan tertuduh menyambut Krismas bersama keluarga sebelum dimasukkan ke dalam penjara.
Mahkamah menetapkan 18 Februari depan untuk membacakan hukuman.
Atas kesalahan itu, Potter boleh dihukum penjara selama 15 tahun.
Kejadian tersebut mencetuskan protes selama beberapa hari di Brooklyn Center, beberapa kilometer daripada tempat bekas pegawai polis Derek Chauvin didapati bersalah membunuh George Floyd pada 2020.
#Kimberly Potter #Daunte Wright #bersalah #kematian
;