Bekas pegawai bank Goldman Sachs mohon belas ihsan dalam kes 1MDB

Afiezy Azaman
Februari 25, 2023 07:00 MYT
Roger Ng (kiri) kelihatan di mahkamah persekutuan Brooklyn bersama peguamnya, di New York, 6 Mei 2019. - Gambar fail AP
BEKAS pegawai bank Goldman Sachs yang disabitkan bersalah kerana membantu menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengemukakan rayuan kepada Mahkamah New York pada Sabtu, untuk tidak memaksanya menghabiskan lebih banyak masa di penjara.
Dalam menjangkakan perbicaraan hukumannya yang dijadualkan pada 9 Mac, peguam Roger Ng meminta mahkamah menunjukkan belas kasihan dan menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya mengikut tempoh yang telah dikenakan terhadapnya di Malaysia.
Bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia itu menghabiskan masa enam bulan di penjara Malaysia sebelum ditangkap oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat pada 1 Nov 2018, menurut pemfailan mahkamah.
Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar AS$2.9 bilion dan unitnya di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.
Perkara itu dilakukan untuk menyelesaikan siasatan terhadap rompakan berbilion dolar daripada 1MDB dan pembayaran rasuah untuk memenangi perniagaan bagi bank Wall Street.
Juri persekutuan di Brooklyn mensabitkan Ng pada April tahun lalu kerana bersubahat melanggar undang-undang anti-rasuah dan melakukan pengubahan wang haram.
Ng berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun.
Menurut peguamnya semasa meminta kebenaran hakim untuk pulang ke Malaysia, Ng "telah dilucutkan maruahnya di penjara Malaysia, diperlakukan sehingga sakit, takut, bersendirian dan putus asa, malah masih mengalami kesan PTSD (post-traumatic stress disorder)."
Pendakwa raya berkata, dia membantu bekas bosnya Tim Leissner menggelapkan wang daripada dana, mencuci hasilnya dan merasuah pegawai untuk memenangi perniagaan untuk Goldman.
"Peranan Ng dalam kesalahan itu adalah minimum dan satu-satunya tuntutan sebaliknya telah disediakan oleh Tim Leissner, yang sangat tidak boleh dipercayai," kata pihak pembela dalam pemfailan mahkamah itu.
#Goldman Sachs #1MDB #penjara #Roger Ng
;