Bekas Miss USA dijumpai mati
Astro Awani
Januari 31, 2022 09:54 MYT
Januari 31, 2022 09:54 MYT
NEW YORK CITY: Bekas Miss USA Cheslie Kryst dijumpai mati di laluan pejalan kaki bangunan pangsapuri bertingkat New York City pada pagi Ahad.
Difahamkan pemenang pertandingan ratu cantik 2019 itu memiliki satu unit pangsapuri di tingkat sembilan Orion Building di Manhattan di mana mayatnya ditemukan.
Wanita berusia 30 tahun itu kali terakhir dilihat di tingkat 29 bangunan itu sekitar jam 7 pagi, sumber memberitahu The New York Post.
Keluarganya dalam satu kenyataan meluahkan rasa sedih atas pemergian Cheslie.
"Dengan penuh dukacita dan kesedihan yang amat sangat, kami maklumkan pemergian Cheslie yang kami sayangi.
“Sinar kehebatannya adalah cahaya yang memberi inspirasi kepada orang lain di seluruh dunia dengan kecantikan dan kekuatannya.
"Dia mengambil berat, dia menyayangi, dia ketawa, dan dia menyinari.
"Cheslie menjiwai kasih sayang dan memberikannya kepada yang lain, sama ada melalui kerjayanya sebagai peguam memperjuang keadilan sosial, sebagai Miss USA, dan sebagai hos di Extra.
"Tetapi paling penting, sebagai anak perempuan, kakak, rakan, mentor dan rakan sekerja - kami tahu impaknya akan berterusan," kata keluarganya dalam kenyataan pada Ahad.
Bekas Miss North Carolina merupakan seorang peguam yang juga pernah bertugas sebagai wartawan rancangan Extra TV.
Hanya beberapa jam sebelum kematiannya, Kryst menulis di Instagram: "Semoga hari ini memberi anda ketenangan dan kedamaian."
Kryst pernah meluahkan perasaannya di Facebook untuk Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 2019, menerangkan rutinnya dalam menghadapi tekanan.
Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)