Bekas Menteri Pertahanan Israel beri amaran pembersihan etnik di Gaza

Astro Awani
Disember 2, 2024 10:00 MYT
Menurut Yaalon, beliau terpaksa memberi amaran tentang apa yang berlaku di sana dan disembunyikan daripada umum. - Foto X/Kenneth Roth
BAITULMAQDIS: Bekas Menteri Pertahanan Israel menuduh negara haram itu melakukan jenayah perang dan pembersihan etnik di Semenanjung Gaza.
Bekas Jeneral Hawkish, Moshe Yaalon memberitahu media Israel bahawa kabinet kanan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sedang mencari jalan mengeluarkan rakyat Palestin dari utara Gaza dan mahu menubuhkan semula penempatan Yahudi di sana.
Menurut Yaalon, beliau terpaksa memberi amaran tentang apa yang berlaku di sana dan disembunyikan daripada umum.
Katanya lagi, jenayah perang sedang dilakukan Kabinet Israel.
Yaalon ialah bekas Ketua Kakitangan Tentera yang berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan di bawah Netanyahu dari tahun 2013 hingga 2016.
Sejak itu beliau menjadi pengkritik kuat Perdana Menteri Israel.
Yaalon memberi amaran bahawa Israel berada di persimpangan jalan dengan kerajaan ingin "menakluki, menggabungkan dan melakukan pembersihan etnik".
Parti Likud pimpinan Netanyahu menuduhnya menyebarkan "pembohongan fitnah", manakala Menteri Luar Gideon Sa'ar, berkata tuduhannya tidak berasas.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bulan lalu mengeluarkan waran tangkap untuk Netanyahu dan bekas Ketua Pertahanannya Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dalam konflik Gaza.
#Gaza #pembersihan etnik #Israel #Benjamin Netanyahu
;