Bekas Menteri Kesihatan Perancis disiasat atas isu pengurusan COVID-19

Agensi
September 11, 2021 15:38 MYT
Agnes Buzyn mengambil alih jawatan Menteri Kesihatan pada Mei 2017 sebelum meletak jawatan pada Februari 2020, hanya beberapa minggu selepas kes pertama COVID-19 dikesan di Perancis. - REUTERS
PARIS: Bekas Menteri Kesihatan Perancis, Agnes Buzyn, disiasat atas peranannya menangani pandemik COVID-19.
Agnes, 58 tahun, meletak jawatan sebagai Menteri Kesihatan pada Februari 2020 untuk bertanding dalam pilihan raya Datuk Bandar Paris.
Menurut pendakwa raya, siasatan dibuat atas tuduhan 'membahayakan nyawa orang lain' sebelum keputusan untuk mendakwa dibuat oleh sebuah mahkamah khas untuk kes salah laku kerajaan.
Memetik laporan akhbar tempatan Le Monde, Agnes juga mungkin berdepan caj 'gagal memerangi bencana'.
Ia sekali gus menjadi salah satu kes pertama di dunia yang mempertanggungjawab seorang menteri atas usaha mengurus wabak COVID-19.
Pada sesi pendengaran kes di mahkamah pada Jumaat, Agnes mempertahankan peranan kerajaan yang didakwa berusaha secukup mungkin untuk mendepani krisis kesihatan.
Agnes mengambil alih jawatan Menteri Kesihatan pada Mei 2017 dan meletak jawatan pada Februari 2020, hanya beberapa minggu selepas kes pertama COVID-19 dikesan di Perancis.
Beliau meletak jawatan untuk bertanding dalam pilihan raya Datuk Bandar Paris, namun gagal mengatasi lawannya, Anne Hidalgo.
Kes tersebut hanya sebahagian daripada siasatan besar-besaran ke atas peranan kerajaan menangani pandemik COVID-19, yang dijangka memanggil Menteri Kesihatan Perancis kini, Olivier Veran ke mahkamah pada minggu-minggu akan datang.
#COVID-19 #Perancis #menteri #Agnes Buzyn
;