Bekas ketua keselamatan Duterte dalang pembunuhan model

Sinar Harian
Januari 27, 2023 08:40 MYT
Rakaman CCTV menunjukkan mangsa dihampiri dua lelaki bermotosikal sebelum ditembak dari jarak dekat. - Foto agensi
MANILA: Tentera Filipina (PA) memecat seorang jeneral tentera terkemuka selepas polis menamakannya sebagai dalang di sebalik pembunuhan seorang wanita yang cuba memeras ugutnya.
Brigadier Jeneral Jesus Durante, bekas ketua Unit Pasukan Keselamatan Presiden (PSG) yang bertanggungjawab melindungi mantan Presiden Rodrigo Duterte didakwa mengarahkan pembunuhan seorang model dan ahli perniagaan di luar pangsapuri wanita itu di Davao City, Mindanao pada bulan lalu.
"Durante dipecat sebagai komander 101 Briged selepas dia dinamakan sebagai orang yang berkepentingan dalam pembunuhan Yvonne Chua Plaza," kata Ketua PA, Leftenan Jeneral Romeo Brawner.
Menurut Brawner, pihak tentera berikrar akan menjalankan siasatan terhadap Durante.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Utara, Brigadier Jeneral Benjamin Silo memaklumkan mangsa menjadi sasaran selepas didakwa mempunyai "maklumat yang sangat sensitif" terhadap Durante dan terus memeras ugut responden.
Susulan itu, polis telah meminta pendakwa raya negeri memfailkan tuduhan membunuh dan menghalang keadilan terhadap Durante.
Pihak polis turut mengesyorkan dakwaan membunuh, kecurian dan tuduhan lain terhadap beberapa suspek termasuk empat askar lain dalam unit tentera Durante yang berpangkalan di selatan Filipina.
Sebelum ini, seorang saksi kejadian tembakan itu memberitahu polis bahawa dia mengenal pasti lelaki bersenjata dan rakannya yang menunggang motosikal di luar pangsapuri mangsa.
Suspek yang telah berjaya ditahan menyerahkan pistol yang digunakan menembak mati mangsa dan mengaitkan dua pegawai tertinggi briged tentera dalam pembunuhan tersebut. - Sinar Harian/Agensi
#jeneral tentera #dalang #pembunuhan wanita #Jesus Durante
;