Bekas Ketua Hakim dinamakan pengurus kempen Prabowo-Hatta
Bernama
Mei 21, 2014 08:40 MYT
Mei 21, 2014 08:40 MYT
Calon presiden dan bekas jeneral, Prabowo Subianto telah melantik bekas ketua hakim Mahkamah Perlembagaan Indonesia, Mahfud M.D. sebagai pengurus pasukan kempennya menjelang pemilihan umum pada 9 Julai.
Prabowo membuat pengumuman itu di pejabat Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada Selasa selepas tiba bersama-sama calon gandingannya, Hatta Rajasa, untuk mendaftar bagi pemilihan umum presiden.
Mahfud turut menyertai rombongan itu.
"Ketua kempen nasional kami ialah Mahfud M.D. Beliau ialah seorang tokoh nasional dan beliau berkata beliau mahu menyokong kami. Beliau mempunyai pengalaman dan mempunyai rangkaian sokongan yang amat luas. Saya berpendapat beliau dapat memperkukuhkan pasukan kami," Prabowo, ketua dewan pembina Partai Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dipetik sebagai berkata oleh Jakarta Globe pada Selasa.
Mahfud sebelum ini adalah seorang daripada mereka yang dipertimbangkan sebagai calon presiden oleh Partai Kebangkitan Bangsa (PKB). Bagaimanapun, parti itu telah memperakukan Joko Widodo atau Jokowi, calon dari Partai Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P).
Mahfud dijangka mendapat sokongan kuat daripada Nahdlatul Ulama, organisasi Islam terbesar Indonesia, yang mempunyai kira-kira 40 juta anggota, dan dalam pembabitannya sebelum ini dengan PKB yang diasaskan oleh tokoh-tokoh utama NU.
"Ada ramai tokoh NU yang menyokong kami," kata Suhardi, pengerusi Gerindra.
Dalam erti kata lain, ini seolah-olah seperti PKB menyokong calon lain (Prabowo) tetapi tokoh-tokoh NU bersama-sama kita. Kami menawarkan visi dan misi kami kepada umum. Jika mereka (anggota NU) berminat, maka itu tidak ada salahnya."
Sementara itu, Zulkifli Hasan, anggota Partai Amanat Nasional (PAN) yang dipengerusikan oleh Hatta berkata parti gabungan telah memilih Mahfud sebagai pengurus kempen Prabowo-Hatta berdasarkan rekod cemerlangnya di Mahkamah Perlembagaan.
"Beliau adalah seorang tokoh tertinggi, bekas menteri, bekas ketua hakim Mahkamah Perlembagaan dan juga seorang profesor. Apabila kami bertanya, beliau menerima permintaan kami," kata Zulkifli seperti dipetik oleh Tribunnews.com.
Zulkifli, yang juga Menteri Kehutanan berkata Mahfud akan bekerjasama dengan pemimpin dari parti-parti yang menyokong gandingan Prabowo-Hatta, dikenali sebagai Gabungan Merah dan Putih.
Gerindra mengetuai gabungan yang dianggotai oleh Partai Golkar, PAN, Partai Keadilan Sejahtera Indonesia (PKS), Partai Persatuan Pembangunan (PPP) dan Partai Bulan Bintang (PBB).
Gabungan Jokowi pula terdiri daripada PDI-P, PKB, Partai Nasional Demokrat (NasDem) dan Partai Hati Nurani Rakyat (Hanura).