Bekas kekasih dakwa Tiger Woods lakukan gangguan seksual

Agensi
Mei 7, 2023 19:08 MYT
Erica Herman mendakwa Woods (gambar) memintanya menandatangani surat perjanjian tanpa pendedahan (NDA) atau diberhentikan dari kerjanya. - Reuters
FLORIDA: Bekas kekasih pemain golf terkemuka, Tiger Woods, Erica Herman mendakwa atlet berusia 47 tahun itu melakukan gangguan seksual terhadapnya ketika dalam tempoh bekerja.
Memetik laporan CNN, perkara ini dikemukakan oleh peguam Herman di Florida di dalam dokumen yang diserahkan kepada Mahkamah pada Jumaat.
Herman mendakwa, Woods telah mengajak untuk melakukan hubungan seksual ketika bekerja di bawahnya serta memaksa menandatangani dokumen, dan sekiranya ingkar, Herman akan dipecat daripada pekerjaannya.
Herman merupakan salah seorang pekerja di restoran The Woods Jupiter di Florida Selatan milik Woods ketika itu.
"Tiger Woods, atlet antarabangsa yang terkenal dan salah satu tokoh paling berpengaruh dalam sukan global, memutuskan untuk memulakan hubungan seksual dengan pekerjanya, kemudian memaksa Herman menandatangani surat perjanjian tanpa pendedahan (NDA) atau diberhentikan dari kerjanya.
"Dan, apabila beliau menjadi tidak berpuas hati dengan hubungan seksual mereka, Woods memperdayanya dengan membuatkan Herman meninggalkan rumah, mengunci pintu, mengambil wang, haiwan kesayangan
dan barangan peribadinya, dan cuba memaksa beliau menandatangani NDA yang berbeza," tulis dokumen mahkamah itu lagi.
Tegas peguam Herman, Benjamin Hobas, majikan yang memberi syarat tertentu disebabkan mempunyai hubungan seksual termasuk dalam kategori gangguan seksual.
Dokumen itu juga mendakwa satu 'helah' digunakan terhadap Herman tahun lalu di mana Woods meminta dirinya untuk mengemas barangan untuk bercuti ke Bahamas. Dia kemudiannya telah dihantar ke lapangan terbang tetapi mendapati dia berdepan dengan peguam Woods.
"Kemudian, peguam Woods tiba-tiba memberitahunya bahawa beliau tidak akan pergi ke mana-mana, tidak akan dapat berjumpa Woods lagi, dikunci keluar dari rumah, dan tidak dapat pulang ke rumah. Herman juga tidak akan dapat melihat anak-anak atau haiwan peliharaannya lagi," tulis maklumat dalam dokumen itu lagi.
Bekas teman wanita Tiger Woods, Erica Herman memfailkan saman AS$30 juta (RM136 juta) terhadap bekas pemain golf No. 1 dunia itu selepas mendakwa ‘ditipu’ dan ‘ditendang’ keluar dari rumah agam Hobe Sound, Florida.
#gangguan seksual #saman #Tiger Woods #Erica Herman
;