Bekas kapten bola sepak diselamatkan dari gua Tham Luang meninggal dunia di UK
Luqman Hariz
Februari 15, 2023 18:30 MYT
Februari 15, 2023 18:30 MYT
KUALA LUMPUR: Duangpetch Promthep, salah seorang kanak-kanak yang diselamatkan dari gua Tham Luang di daerah Chiang Rai, Thailand pada Jun 2018 lalu, meninggal dunia di United Kingdom.
Punca kematian bagaimanapun masih belum disahkan.
Duangpetch dilaporkan ditemui dalam keadaan tidak sedar diri di dormitori asrama pada Ahad sebelum dibawa ke hospital.
Bekas kapten pasukan bola sepak Wild Boars Thailand itu berada di UK sejak kira-kira enam bulan lalu selepas mendapat biasiswa untuk menuntut di Akademi Bola Sepak Kolej Brooke House, Leicestershire.
Kematian Duangpetch hanya diketahui selepas ibunya berkongsikan berita itu di media sosial.
Pada Julai 2018, Duangpetch bersama 11 rakan sepasukan serta jurulatih mereka diselamatkan selepas terperangkap di dalam gua Tham Luang di Chiang Rai, utara Thailand selama 18 hari.
Duangpetch yang berusia 12 tahun dilaporkan menyambut hari kelahirannya yang ke-13 ketika dia dan rakan-rakannya terperangkap di Gua Tham Luang.
Rakan-rakannya yang berusia antara 11 dan 16 tahun, dan jurulatih mereka Ekkapthon Kanthawong berusia 25 tahun ketika itu.
Kesemua 12 mangsa berjaya diselamatkan, dua anggota penyelamat terkorban dalam insiden tersebut.