Bekas jeneral tinggi ditahan di Brazil atas tuduhan rancang rampasan kuasa

Bernama
Disember 16, 2024 18:20 MYT
Netto (kanan) yang pernah berkhidmat sebagai jeneral kanan semasa pemerintahan Bolsonaro ditahan oleh polis persekutuan di Rio de Janeiro. - AP
BOGOTA: Seorang bekas jeneral ditahan pada Sabtu di Brazil atas dakwaan terlibat dalam rancangan rampasan kuasa terhadap kerajaan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan.
Walter Braga Netto, yang pernah berkhidmat sebagai jeneral kanan semasa pemerintahan Presiden Jair Bolsonaro ditahan oleh polis persekutuan di Rio de Janeiro.
Netto, menerusi peguamnya, menafikan tuduhan terlibat dalam rancangan rampasan kuasa terhadap pentadbiran Lula dan berkata: “Saya sama sekali tidak terlibat dalam sebarang rancangan rampasan kuasa, apatah lagi rancangan pembunuhan.”
Penahanan itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes, dengan laporan menunjukkan penahanan lain mungkin menyusul dalam beberapa hari akan datang.
Terkenal dengan hubungan rapatnya dengan bekas Presiden Bolsonaro, Netto menjadi jeneral berpangkat empat bintang pertama dalam sejarah Brazil yang ditahan.
Presiden Lula da Silva memberi reaksi terhadap penahanan Netto dengan berkata: “Kami menjunjung tinggi demokrasi. Dalam sebuah negara seperti Brazil yang berdaya tahan, kita tidak boleh terima bahawa pegawai tentera berpangkat tinggi merancang pembunuhan terhadap presiden, naib presiden, atau hakim Mahkamah Agung Persekutuan.”
Pada 27 Nov lalu, polis persekutuan Brazil menuduh bekas Presiden Bolsonaro terlibat dalam rancangan rampasan kuasa terhadap pentadbiran Lula.
Mahkamah Agung Brazil turut mendedahkan kepada umum laporan polis mengenai rancangan rampasan kuasa berkenaan.
Laporan itu menyebut terdapat bukti yang dikumpul semasa siasatan yang menunjukkan penglibatan Bolsonaro dalam rancangan untuk menggulingkan kerajaan Lula.
Dalam pilihan raya presiden pusingan kedua pada 30 Okt 2022, Presiden Lula da Silva menewaskan bekas Presiden Jair Bolsonaro.
Lula mengangkat sumpah jawatan pada 1 Jan 2023 dalam satu majlis di Parlimen.
-- BERNAMA
#walter braga netto #bekas jeneral kanan #Brazil #rampasan kuasa
;