Bekas Gabenor Jakarta diberi pengampunan khusus sempena Krismas
Agensi
Disember 28, 2017 09:14 MYT
Disember 28, 2017 09:14 MYT
Bekas Gabenor Jakarta, Basuki “Ahok” Tjahaja Purnama yang sedang menjalani hukuman penjara dua tahun diberikan pengampunan khusus untuk berada di luar penjara bagi menyambut perayaan Krismas Isnin lalu.
Peguam Ahok, Teguh Samudera berkata pengampunan selama 15 hari terbabit turut diberikan kepada banduan yang beragama Kristian yang lain.
"Pak Ahok telah diberi kelonggaran selama 15 hari," jelasnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurut pemangku Ketua Pengarah Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Makmun, setakat 18 Disember terdapat 227,446 banduan di negara itu dengan 15,748 daripadanya adalah banduan kristian.
"Kali ini terdapat 9,333 banduan telah diberi kelonggaran bersempena sambutan Krismas," jelasnya.
Menurutnya, banduan Kristian yang menerima pengampunan khusus dinilai berdasarkan jenayah yang mereka lakukan.
Sekiranya mereka adalah banduan kes rasuah, mereka dikehendaki berkerjasama dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan pengampunan.
Tambah Makmun pengampunan khusus terbabit boleh diberikan dari 15 hari sehingga dua bulan.
Ahok dikenakan hukuman penjara dua tahun selepas disabitkan kesalahan menghina agama Islam.
Sebelum ini peguam Ahok telah memohon mahkamah agar memberikan pengampunan kepada Ahok pada sambutan Krismas atas alasan Ahok telah dipenjarakan selama lebih dari enam bulan serta telah berkelakuan baik.