Bekas eksekutif Samsung ditahan, bocor teknologi pembuatan cip ke China

Amanz
September 12, 2024 15:00 MYT
Dua bekas eksekutif Samsung telah ditahan oleh polis Korea Selatan kerana disyaki menjual rahsia teknologi pembuatan cip memori syarikat. - Gambar hiasan
INDUSTRI pembuatan cip semikonduktor adalah sangat kompetitif, dengan negara-negara seperti Taiwan dan Korea memastikan rahsia-rahsia syarikat dianggap sebagai harta negara, dan rantau lain seperti Amerika dan Eropah kini sedang cuba untuk membangunkan bekalan mereka sendiri supaya tidak terlalu bergantung kepada satu atau dua sumber sahaja.
Baru-baru ini, dilaporkan dua orang bekas eksekutif Samsung telah ditahan oleh polis Korea Selatan kerana disyaki menjual rahsia teknologi pembuatan cip memori syarikat tersebut dan telah membuka sebuah kilang di Chengdu, China.
Menurut laporan Bloomberg, disyaki bahawa salah seorang tersebut, yang berusia berumur 66 tahun telah meniriskan teknologi pembuatan memori 20nm bernilai $3.2 bilion ke China, dan membuka kilang yang terbabit.
Rahsia teknologi ini sangat penting untuk Samsung kerana ia menjadikan mereka diantara pengeluar cip memori berkualiti tinggi yang digunakan untuk menguasakan bukan sahaja peranti-peranti pengguna, tetapi juga komputer-komputer berkuasa yang digunakan untuk tujuan pembelajaran mesin, kecerdasan buatan dan sebagainya.
Selain daripada itu, dia juga dilaporkan telah cuba untuk memujuk jurutera-jurutera untuk menyertai kilangnya di China.
Dalam pada itu, seorang lagi rakan subahat adalah seorang arkitek kilang yang juga dilaporkan telah membantu dalam pembukaan kilang di China tersebut.
Teknologi penbuatan cip semikonduktor seperti cip pemprosesan dan memori adalah sesuatu yang dikawal secara sangat ketat oleh kerajaan-kerajaan seperti Korea Selatan, Taiwan dan Jepun kerana ia dilihat sebagai satu “matawang” yang membantu dalam memastikan negara mereka kekal relevan dalam ekonomi moden ini. - Amanz
#Samsung #bocor rahsia #teknologi cip memori #Korea Selatan
;