Bekas ejen FBI Robert Hanssen, yang mengintip untuk Rusia meninggal dunia
Bernama
Jun 6, 2023 13:29 MYT
Jun 6, 2023 13:29 MYT
NEW YORK: Bekas ejen FBI Robert Hanssen, yang disabitkan kesalahan mengintip untuk Rusia, meninggal dunia pada usia 79 tahun, kata Biro Penyiasatan Persekutuan pada Isnin.
FBI berkata Hanssen menjadi "perisik yang paling bahaya" dalam sejarah biro itu walaupun telah bersumpah untuk menguatkuasakan undang-undang dan melindungi negara.
Hanssen yang menjalani hukuman penjara seumur hidup, ditemukan mati di dalam sel penjaranya, lapor Agensi Anadolu memetik Biro Penjara.
Dia ditangkap pada 2001 dan dituduh memberi maklumat paling sulit mengenai keselamatan negara kepada Rusia dengan pertukaran lebih daripada AS$1.4 juta dalam bentuk tunai, dana bank dan berlian.
Aktiviti pengintipan Hanssen bermula pada 1985, kata FBI, dan pada 2001 dia mengaku bersalah atas 15 pertuduhan pengintipan.
-- BERNAMA