Bekas duta tikam anak sendiri sehingga mati

Agensi
Jun 7, 2019 12:52 MYT
Kumuzawa ditahan selepas dia memaklumkan telah menikam anaknya kepada polis. - Foto Reuters
Polis Jepun menahan bekas duta negara itu ke Republik Czech, Hideaki Kumuzawa selepas disyaki membunuh anak lelakinya di kediaman mereka di Tokyo, baru-baru ini lapor The Japan Times.
Kumuzawa, 73 tahun, ditahan polis selepas dia sendiri menghubungi polis memaklumkan telah menikam anaknya yang berusia 44 tahun, Eiichiro.
Menurut polis, Kumuzawa mendakwa anaknya itu jarang keluar rumah dan tidak bergaul dengan orang ramai selain sering bertindak kasar dan ganas sepanjang berada di dalam rumah.
Justeru, polis percaya kejadian berpunca daripada sikap mangsa yang sering menimbulkan masalah dalam keluarga.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah pada bahagian dada di atas tikar manakala isteri suspek tidak berada di rumah semasa kejadian.
Sementara itu, jiran mereka yang enggan dikenali memberitahu tidak pernah melihat mangsa sebelum ini.
“Jika tidak silap, mereka berpindah ke kejiranan ini sekitar 10 tahun lalu. Dalam tempoh itu, saya tidak melihat anaknya (mangsa),” katanya yang terkejut dengan kejadian terbabit.
Kumuzawa yang menamatkan pengajian di Universiti Tokyo pernah berkhidmat di Kementerian Pertanian Jepun pada 1967.
Dia kemudian menjadi birokrat tertinggi kementerian pada tahun 2001 sebelum meletak jawatan ekoran wabak lembu gila setahun selepas itu.
#Japan #Kumuzawa #mati #polis #tikam #Tokyo
;