Bekas Datuk Bandar Bamban, Filipina lari ke Jakarta elak ditangkap
Bernama
Ogos 26, 2024 21:44 MYT
Ogos 26, 2024 21:44 MYT
BATAM : Alice Guo, bekas datuk bandar Bamban, bandar di bahagian utara Filipina yang menjadi buruan dan meninggalkan negaranya ekoran kes rasuah, dipercayai datang ke Jakarta, menurut Pejabat Imigresen Bandar Batam Kepulauan Riau, lapor Agensi Berita Indonesia (Antara).
"Pasukan pejabat Imigresen Jakarta dan wakil agensi Imigresen Filipina kini sedang mencari keberadaannya," kata ketua pejabat Imigresen Batam, Samuel Toba pada sidang media di sini pada Isnin.
Awal Ogos 2024, Guo dipecat daripada jawatan datuk bandar Bamban berikutan siasatan ke atas penglibatannya dalam rasuah dan skim perjudian dalam talian haram, yang dikenali secara tempatan sebagai Pengendali Permainan Luar Pesisir Filipina.
Kewarganegaraan Filipinanya juga diteliti, dan dia menjadi subjek siasatan lain kerana percanggahan antara dokumen dan keterangannya.
Bagaimanapun, dia dilaporkan melarikan diri ke Indonesia sejurus sebelum pihak berkuasa Filipina mengeluarkan waran tangkap ke atasnya dan tiga rakan sejenayahnya pada 19 Julai 2024.
WG, saudara Guo yang juga berada dalam senarai dikehendaki, melarikan diri dari Batam dan kini dipercayai berada di Hong Kong, kata Toba.
Sementara itu, pegawai Imigresen Batam menahan dua orang dalam senarai dikehendaki yang dikenal pasti dengan parap SG, 40, dan KO, 24, sebelum mereka melarikan diri ke Malaysia melalui Pelabuhan Antarabangsa Batam Centre.
Kedua-dua individu itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa Filipina, kata Toba.
Imigresen Batam mendedahkan seorang warga Singapura, yang dikenal pasti dengan parap ZJ, disyaki membantu empat buruan melarikan diri ke Batam. ZJ juga membantu menempah bilik hotel untuk mereka, tambahnya.
"Bagaimanapun, warga Singapura itu tidak lagi berada di Indonesia," katanya.
-- BERNAMA