Bekas CEO Twitter Jack Dorsey kritik cara Elon Musk kendalikan aplikasi

Bernama
April 30, 2023 14:50 MYT
Dorsey (kiri) mengkritik langkah yang diambil Musk sejak membeli syarikat media sosial, Twitter.
NEW YORK: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Jack Dorsey, mengkritik langkah yang diambil Elon Musk sejak membeli syarikat media sosial itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Tidak. Saya rasa langkah beliau tidak sesuai pada masanya," kata Dorsey ketika ditanya oleh pengguna aplikasi baharunya "Bluesky" sama ada masih percaya Musk adalah pemilik ideal untuk Twitter.
Apabila perjanjian bernilai AS$44 bilion kelihatan gagal, lembaga Twitter mengancam untuk menyaman Musk untuk memaksa perjanjian itu.
Dorsey berkata usaha lembaga itu untuk memaksa penjualan bukanlah idea yang bernas.
"Semuanya menjadi haru-biru," tulis Dorsey.
Beliau berkata jika Elon atau sesiapa sahaja mahu membeli syarikat itu, apa yang mereka perlu lakukan ialah meletakkan harga yang dirasakan lembaga itu lebih baik berbanding apa yang boleh dilakukan oleh syarikat secara bebas.
"Ini betul untuk setiap syarikat awam. Adakah saya optimis? Ya. Adakah saya mempunyai kata putus? Tidak. Saya fikir dia (Musk) sepatutnya ambil pendekatan "walk away" dan membayar AS$1 bilion.
Di bawah perjanjian awal pembelian Twitter, Musk boleh "walk away" jika beliau membayar yuran perpisahan AS$1 bilion.
Sejak memperoleh Twitter pada Oktober lalu, Musk telah mendapat kritikan hebat atas dasar-dasar baharu yang diperkenalkannya.
Selain memberhentikan pekerja, Musk juga mula mengenakan bayaran langganan kepada pengguna untuk tanda pengesahan biru selain melabelkan media tertentu sebagai "dibiayai oleh kerajaan".
-- BERNAMA
#CEO Twitter #Jack Dorsey #Elon Musk #Twitter
;