Bekas CEO Fox didapati bersalah terbabit rasuah dapatkan hak penyiaran Piala Dunia

Astro Awani
Mac 10, 2023 11:20 MYT
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Fox International Channels, Hernan Lopez (gambar) telah disabitkan kesalahan manakala seorang lagi Eksekutif Fox yang mengetuai hal ehwal Amerika Latin, Carlos Martinez telah dibebaskan. - Gambar fail AP
NEW YORK: Seorang bekas eksekutif stesen televisyen saluran Fox telah disabitkan kesalahan kerana membayar jutaan dolar sebagai rasuah untuk mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia dan perlawanan bola sepak terkemuka lain, pada Khamis.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Fox International Channels, Hernan Lopez telah disabitkan kesalahan manakala seorang lagi Eksekutif Fox yang mengetuai hal ehwal Amerika Latin, Carlos Martinez telah dibebaskan.
Keputusan itu dibacakan barisan Juri Persekutuan Brooklyn selepas perbincangan dilakukan selama empat hari.
Pendakwa raya berkata, kes itu mendedahkan rasuah bola sepak antarabangsa.
Bagaimanapun, pihak peguam bela menegaskan, bekas pegawai eksekutif Fox itu telah dijebak oleh seorang penjenayah yang diakui cuba meminimumkan hukumannya sendiri.
Lopez yang dilihat penuh emosi memeluk penyokong di dalam bilik mahkamah selepas mendengar keputusan itu manakala peguamnya kelihatan tergamam.
Hakim membenarkan beliau dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu hukuman.
Seorang peguam dilantik Lopez, John Gleeson menegaskan, terdapat "kesilapan undang-undang dan fakta."
"Kami tidak sabar-sabar untuk mengesahkan anak guam kami dalam rayuan," katanya.
Sebuah syarikat media dan pemasaran sukan Amerika Selatan turut disabitkan dengan dakwaan rasuah yang melibatkan hak penyiaran televisyen yang berbeza.
Full Play Group SA yang diperbadankan di Uruguay, dituduh membayar rasuah untuk hak penyiaran ke atas Copa America serta perlawanan kelayakan Piala Dunia.
Fox Corporation yang berpangkalan di New York tidak didakwa dan telah menafikan sebarang penglibatan dalam skandal rasuah itu.
Lopez dan Martinez merupakan antara berpuluh individu yang telah mengaku bersalah atau telah disabitkan selepas penyiasatan yang diketuai Amerika Syarikat ke atas bola sepak antarabangsa dan persekutuan yang mentadbirnya, FIFA.
Siasatan itu mula diketahui pada 2015, apabila pendakwa raya Amerika Syarikat menuduh pemimpin persekutuan bola sepak memburukkan sukan itu selama hampir seperempat abad dengan mengambil rasuah dan ganjaran sebanyak AS$150 juta.
FIFA terus mengembang dan menamakan semula kumpulan kepimpinan eksekutifnya.
Presiden FIFA ketika itu, Sepp Blatter telah dipaksa keluar dan digantikan oleh Presiden semasa Gianni Infantino yang telah menegaskan organisasi itu telah melakukan pembaharuan.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia telah dikritik kerana bertolak-ansur dengan dakwaan penderaan pekerja asing semasa pembinaan stadium Piala Dunia yang digunakan di Qatar tahun lepas dan mengekalkan bayaran rendah serta pengaturan kejohanan untuk pemain wanita.
Dalam kes Lopez dan Martinez, saksi utama pendakwa raya ialah bekas sekutu perniagaan Alejandro Burzaco.
Dia telah bekerjasama dalam siasatan rasuah bola sepak sejak penahanannya pada 2015 dalam kes rasuah berkaitan.
Selama 11 hari di kandang saksi, Burzaco berkata, beliau dan kedua-dua eksekutif itu membayar berjuta-juta dolar sebagai rasuah untuk melemahkan bidaan bersaing untuk hak penyiaran televisyen ke kejohanan tahunan terbesar Hemisfera Selatan, Copa Libertadores dan membantu mendapatkan hak penyiaran kepada bola sepak Piala Dunia.
Dua juri yang bersetuju untuk bercakap selepas perbicaraan berkata, Burzaco bukan faktor dalam keputusan mereka.
"Kami tidak mendapati dia boleh dipercayai," kata salah seorang juri, Robert Rose, yang bekerja sebagai peguam.
Sebaliknya juri bergantung kepada rim dokumen yang dibentangkan semasa kes itu.
Rose berkata, "ia tidak sukar" untuk mensabitkan Lopez dan juri bergelut untuk mencapai keputusan untuk Martinez. Pada akhirnya, Rose berkata, "ada keraguan yang mencukupi."
Peguam pembela berkata, Burzaco berbohong tentang bekas eksekutif Fox untuk meminimumkan kelakuannya sendiri dan memihak kepada kerajaan sebelum hukumannya sendiri.
Dia mengaku bersalah atas konspirasi raket dan pertuduhan lain.
Pendakwa raya mendakwa bayaran itu menghasilkan maklumat sulit daripada pegawai tinggi bola sepak termasuk mereka di FIFA yang membolehkan Fox menewaskan ESPN dalam saingan dan mendapatkan hak penyiaran Amerika Syarikat ke Piala Dunia 2018 dan 2022.
#Piala Dunia #Hernan Lopez #Rasuah #hak penyiaran
;